KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin didesak untuk memanggil sidang Parlimen tergempar bagi membahas krisis integriti kehakiman dan dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh eksekutif.
Surat desakan itu ditulis peguam Rafique Rashid dan Pengerusi Malaysian Advancement Party (Hindraf) P Waytha Moorthy Ponnusamy
yang dialamatkan kepada Ketua Pembangkang.
“Kami menulis kepada Datuk Seri dengan kebimbangan mendalam berkenaan integriti Badan Kehakiman negara kita dan krisis perlembagaan yang semakin meruncing, yang kini mengancam kebebasan institusi-institusi yang bertanggungjawab untuk menegakkan keadilan.
“Pendedahan terkini mengenai laporan polis yang dibuat oleh seorang penyelidik undang-undang berkaitan seorang Hakim Mahkamah Persekutuan yang masih berkhidmat, yang menyatakan dakwaan salah laku yang dibangkitkan semasa mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) pada Mei 2025, menandakan satu peningkatan serius dalam hakisan keyakinan awam terhadap sistem kehakiman Malaysia yang sedia terjejas.
“Implikasi laporan ini amat membimbangkan dan memerlukan penelitian segera oleh Parlimen. Laporan polis tersebut menunjukkan dakwaan salah laku yang serius telah dibuat terhadap seorang Hakim Mahkamah Persekutuan yang masih berkhidmat dakwaan yang mungkin berpunca daripada peranannya sebelum ini sebagai Peguam Negara. Ini bukan sekadar tuduhan, tetapi kebimbangan serius yang perlu ditangani. Dakwaan ini juga berkemungkinan mencetuskan Artikel 125(3) Perlembagaan Persekutuan, yang membolehkan tribunal
dibentuk;.
“Selain itu, laporan penyelidik undang-undang tersebut mengandungi pengakuan secara tersirat dan tiada penafian oleh bekas Peguam Negara terhadap dakwaan tersebut – tindakan hakim tersebut bukanlah untuk menafikan dakwaan, sebaliknya memohon siasatan polis ke atas kebocoran maklumat, yang menimbulkan kebimbangan bahawa ini adalah percubaan untuk menutup isu sebenar,” kata surat tersebut.
Menurut surat itu lagi, krisis ini semakin parah kerana Perdana Menteri kekal diberi kuasa di bawah Artikel 122B Perlembagaan Persekutuan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai pelantikan kehakiman.
Katanya, nasihat ini hendaklah diterima oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja. Ini adalah tanggungjawab yang besar.
“Namun, pada masa beliau sedang berdepan prosiding undang-undang termasuk saman sivil gangguan seksual oleh bekas pembantu beliau, Muhammad Yusoff Rawther, dan isu perlembagaan yang dirujuk oleh Perdana Menteri kepada Mahkamah Persekutuan untuk kekebalan peribadi, peranannya menjadi satu kebimbangan serius.
“Perkara-perkara ini sangat serius yakni jelas menunjukkan konflik kepentingan; melemahkan kenetralan, kebebasan dan keabsahan peranan PM dalam pelantikan kehakiman termasuk mengancam keseimbangan perlembagaan dan pemisahan kuasa seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Lebih membimbangkan lagi terdapat laporan yang boleh dipercayai bahawa pelantikan kehakiman tertentu seperti pelantikan bekas Peguam Negara Tan Sri Ahmad Terrirudin Salleh ke jawatan penting dalam badan Kehakiman meskipun namanya tidak pernah disyorkan oleh JAC menimbulkan persepsi bahawa pelantikannya ke Mahkamah Persekutuan dibuat atas pilihan peribadi PM,” kata surat itu lagi.
Ujarnya, ini bukan sahaja mencemarkan integriti cadangan JAC tetapi juga menimbulkan persoalan tentang komitmen PM dalam melantik hakim berdasarkan merit.
“Dilaporkan juga bahawa nama bekas Peguam Negara Ahmad Terrirudin telah dihantar oleh PM kepada Majlis Raja-Raja untuk pertimbangan bagi jawatan utama dalam kehakiman.
“Berdasarkan fakta-fakta ini, jelas bahawa Perdana Menteri menyusun calon pilihannya ke jawatan-jawatan utama badan Kehakiman berdasarkan keperluan peribadi, bukan keperluan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan di bawah Artikel 122B.
“Walaupun PM mempunyai kuasa eksklusif untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai pelantikan kehakiman, keadaannya sekarang mewujudkan konflik kepentingan yang nyata. Antaranya telah menyebabkan kebuntuan kehakiman dan mencetuskan krisis perlembagaan; niat perangka Artikel 122B adalah agar PM melaksanakan fungsi ini secara bebas dan mengutamakan kepentingan negara.
Surat itu mendakwa, kini jelas PM tidak lagi layak menjalankan fungsi perlembagaan ini, dan keengganannya untuk meletak jawatan memerlukan campur tangan Parlimen sebagai suara rakyat untuk memperbetulkan keadaan; kehadirannya yang berterusan dalam peranan ini melemahkan kepercayaan rakyat terhadap kehakiman dan mengancam pemisahan kuasa.
“Juga penolakannya terhadap cadangan terdahulu untuk membentuk tribunal di bawah Artikel 125(3) bagi menyingkirkan Hakim tersebut mengukuhkan persepsi awam bahawa beliau sedang melindungi individu yang boleh memberi pengaruh dalam kes-kes beliau di mahkamah tertinggi.
“Sehubungan itu, kami dengan hormat menggesa YB untuk segera membawa usul perbahasan tergempar di Parlimen berdasarkan Peraturan Mesyuarat dan prinsip kebertanggungjawaban perlembagaan, dengan tujuan menilai kelayakan PM untuk terus berperanan dalam pelantikan kehakiman di tengah konflik kepentingan yang serius.
“Mempertimbangkan resolusi Parlimen untuk melantik Hakim Tambahan atas nasihat Ketua Hakim Negara yang kini memangku, ke Mahkamah Persekutuan di bawah Artikel 122(1A), bagi menyelesaikan kes-kes yang melibatkan konflik kepentingan PM.
“Mendesak Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja agar menangguhkan sebarang pelantikan kehakiman baharu sehingga kes-kes melibatkan PM diselesaikan oleh hakim-hakim sedia ada dan Hakim Tambahan. Memulakan prosiding di bawah Artikel 127 untuk membahas kelakuan dan kelayakan
Hakim yang terlibat,” katanya.
Menurut surat itu lagi, Parlimen, sebagai suara rakyat, mesti memainkan peranan utama dalam memulihkan kepercayaan awam terhadap kehakiman dan menjunjung Perlembagaan.
“Kebebasan Badan Kehakiman adalah asas demokrasi. Sebarang ancaman terhadap prinsip ini perlu ditangani dengan tindakan segera, telus, dan merentas parti.
“Ketelusan dan kebertanggungjawaban bukan sekadar nilai, tetapi teras kepada demokrasi yang kukuh.
“Kami yakin Datuk Seri akan mengambil tindakan segera dalam menangani isu yang amat kritikal ini demi integriti institusi negara,” kata surat itu.