KUALA LUMPUR – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedia mengambil alih penjagaan sementara mangsa rogol bawah umur sekiranya tiada ahli keluarga yang sesuai atau berkelayakan menjaga kanak-kanak tersebut.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, perlindungan terhadap kanak-kanak adalah tanggungjawab bersama dan perlu diberikan perhatian serius oleh seluruh masyarakat.
Kata beliau, pihaknya merujuk kepada laporan media mengenai seorang peniaga nasi lemak yang telah dituduh merogol anak perempuan kepada teman wanitanya yang masih di bawah umur.
“Kes seumpama ini amat membimbangkan dan tidak boleh dikompromi dalam mana-mana masyarakat yang menghargai keselamatan serta maruah kanak-kanak.
“Sekiranya tiada penjaga yang sesuai, JKM sedia mengambil alih tanggungjawab penjagaan sementara bagi memastikan kebajikan dan keselamatan mangsa terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki yang merupakan peniaga nasi lemak didakwa merogol anak perempuan kepada teman wanitanya sendiri yang masih di bawah umur.
Kes itu mencetuskan kemarahan masyarakat dan mencerminkan keperluan tindakan pantas oleh pihak berkuasa bagi melindungi mangsa dan mencegah kejadian serupa berulang.
Nancy berkata, mangsa turut berhak menerima sokongan psikososial termasuk kaunseling dan bantuan emosi bagi membantu proses pemulihan mental dan emosi mereka.
Katanya, masyarakat perlu lebih peka terhadap isu penderaan seksual dan eksploitasi kanak-kanak serta tidak berdiam diri jika mengetahui sebarang kejadian seumpama itu.
“Sebarang maklumat berkaitan penderaan atau pengabaian kanak-kanak boleh dilaporkan kepada Talian Kasih 15999 atau mana-mana pejabat JKM berhampiran.
“Kementerian akan terus memperkukuh langkah pencegahan, pemulihan dan perlindungan demi kesejahteraan kanak-kanak di negara ini,” katanya.