KUALA LUMPUR – Datuk Puad Zarkashi konsisten mengingatkan Datuk Seri Rafizi Ramli bahawa kes mahkamah boleh dicari.
Puad berkata, kes bukan sahaja rasuah tetapi income tax dan isu isu peribadi.
“Memang panjang lebar komen balas Rafizi terhadap nasihat saya supaya jangan berlebihan membakar. Takut dia berakhir masuk penjara.
“Rafizi yakin dia bersih. Itu cakap dia. Semua boleh dicari. Bukan sahaja rasuah tetapi income tax dan isu isu peribadi. Dia pelik Mahkamah beri DNAA kepada (Datuk Seri) Najib.
“Rafizi lupa kes dia fitnah Tabung Haji ada prima facie. Dalam kes BAFIA dia dihukum penjara 30 bulan. Tetapi kedua dua kes itu digugurkan bila PH berkuasa. Dalam kes OSA, hukuman penjara 18 bulan tukar kepada bon berkelakuan baik. Tetapi dia tetap bersalah.
“Rafizi juga lupa Invoke miliknya telah disiasat oleh SPRM sebelum PRU ke 15. Dia ugut, kalau PH menang dia akan kejar (Tan Sri) Azam Baki. Sudah kejar ke belum? Takut dia yang kena kejar,” bidas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu lagi.
Puad juga menyebut Rafizi menasihati beliau supaya lebih baik fikirkan pahala dan dosa kerana berumur 20 tahun lebih tua daripadanya.
“Saya kongsikan satu hadis ciri ciri orang munafik. “Bila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia tidak tunaikan dan bila diberi amanah dia khianati”.
“Rafizi akui kerja dia ialah menghasut. Kerja penghasut mestilah berbohong. Dia banyak berjanji. Hapus tol dan turun harga kereta. Apakah tertunai? Dia diberi amanah jawatan menteri. Kenapa letak jawatan. Tidakkah itu mengkhianati aku janji pada rakyat?
“Sejak muda masuk politik dia berjanji dan jadi penghasut. Patutkah apabila umur hampir mencecah 50 sambung balik kerja penghasut dan janji palsu? soal Puad.