Oleh: Zihan Zari
SANDAKAN – Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) telah menerima dua unit Retail Outdoor Venture Reload (ROVR) dari Petronas Dagangan Bhd (PDB) iaitu tangki minyak mudah alih petrol dan diesel berkapasiti 5000 liter setiap satu untuk kegunaan kenderaan tentera.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Komunikasi Strategik MAWILLA 2, memaklumkan penyerahan rasmi ROVR daripada PDP yang diwakili oleh Ketua Pegawai Operasinya , Azureen Azita Abdullah kepada Panglima Armada Timur, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Madya Datuk Hj. Muhammad Ruzelme Ahmad Fahimy.
Penyerahan ini disaksikan oleh Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Dato’ Khir Junaidi Idris di Tapak ROVR MAWILLA 2, Pengkalan TLDM Sandakan pada Selasa.
Beliau berkata, projek ini merupakan program kerjasama perindustrian antara pihak PETRONAS dengan TLDM.
Projek pemasangan ROVR ini telah bermula di MAWILLA 2 pada 11 Disember 2023 dan siap sepenuhnya pada 22 Januari lalu , dengan kos keseluruhan dianggarkan sebanyak RM1,156,840.00.
Menurutnya, dengan kewujudan ROVR ini, kerja-kerja pengisian minyak di pangkalan ini dapat dilaksanakan dengan cepat dan efisien berbanding sebelum ini.
”Sebagai rekod, sejak penubuhan MAWILLA 2, pengisian minyak untuk kenderaan tentera TLDM telah dilaksanakan di Batalion Ke-22 Rejimen Askar Melayu Diraja,” katanya.
“Kerjasama antara TLDM dan Petronas ini dapat dijadikan contoh yang baik dalam pelaksanaan projek-projek kolaborasi industri untuk kepentingan keselamatan dan kesejahteraan negara.
“Selain itu, kerjasama ini dapat memperkukuhkan lagi keupayaan operasi TLDM di masa hadapan,” menurut kenyataan itu lagi. – SUARA.TV