ECERDC Rekod Nilai Pelaburan Komited RM80 Bilion

- Advertisement -

KUANTAN – Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) merekodkan RM80 bilion daripada RM160 bilion pelaburan komited dalam tempoh 15 tahun.

Jumlah itu dicatatkan sejak penubuhannya pada tahun 2008.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat, berkata kejayaan itu juga diperoleh hasil kerjasama ECERDC dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan, dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), selain sokongan penuh kerajaan negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan.

“Sejak awal penubuhan, ECERDC memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur strategik dan taman industri bertema yang memainkan peranan penting dalam menarik pelaburan ke rantau ini.

“ECERDC turut mencatatkan kejayaan membanggakan apabila mencapai pelaburan komited melebihi RM160 bilion di ECER merentasi pelbagai sektor, dengan RM80 bilion daripadanya audah berjaya direalisasikan setakat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-15 ECERDC dan Pelancaran Invest@ECER 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC), di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Baidzawi berkata, selain kemasukan pelaburan, Wilayah ECER menyaksikan pelaksanaan projek strategik berimpak tinggi seperti peluasan Pelabuhan Kuantan sebagai pelabuhan laut dalam, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) dan Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang kini sedang dalam pembinaan.

“ECERDC juga mencipta destinasi pelancongan `wajib lawat’ yang bukan sahaja merancakkan lagi pertumbuhan industri pelancongan, malah memberi manfaat besar kepada komuniti tempatan dan usahawan setempat,” katanya.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, kejayaan itu membuktikan prestasi ekonomi Pahang sangat signifikan hingga menyaksikan kerajaan negeri memperoleh hasil melebihi RM1 bilion tahun lalu.

“Kejayaan ini juga dicapai hasil wujudnya gerbang Invest Pahang bagi membangunkan eko-sistem pelaburan kondusif agar Pahang menjadi destinasi pilihan pelabur,” katanya.

Pada masa sama, beliau berbangga dengan pencapaian dan sumbangan ECERDC dalam memangkin pertumbuhan sosio ekonomi dan taraf hidup rakyat menerusi program latihan bimbingan akademik dan keusahawan yang diberikan kepada rakyat Pahang.

“Daripada 120,000 peserta ECER, lebih 57,000 peserta adalah rakyat Pahang yang mendapat manfaat daripada program pembangunan modal insan ECERDC,” katanya.

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat