Syed Saddiq Arah Saya Keluarkan Wang RM1 Juta – Saksi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Saksi pendakwaan dalam kes perbicaraan pengubahan wang Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa bekas ketua Pemuda Bersatu itu mengarahkannya mengeluarkan RM1 juta daripada dana sayap parti berkenaan.

Ahmad Redzuan Mohamed Shafi yang ketika itu penolong setiausaha Pemuda Bersatu, berkata dia dan penolong bendahari ketika itu, Rafiq Hakim Razali, diarahkan berbuat demikian oleh Syed Saddiq, pada awal Mac 2020.

Dalam pernyataannya, Redzuan berkata, Syed Saddiq mengeluarkan arahan itu dalam perbincangan mengenai pertukaran kerajaan di sebuah rumah di Petaling Jaya. Susulan itu, diikuti Langkah Sheraton dan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH), pada Februari 2020.

“YB Syed Saddiq mengatakan wang berkenaan perlu dikeluarkan daripada akaun kerana beliau bimbang berlaku pertukaran pucuk pimpinan Pemuda Bersatu dan untuk kegunaan mengukuhkan kedudukannya sebagai ketua Pemuda Bersatu, sekiranya berlaku pergolakan dalaman menerusi program membabitkan Pemuda,” katanya.

Dia juga mendakwa, bekas menteri belia dan sukan itu ada mengatakan, bahawa beliau “berhak” menggunakan wang berkenaan kerana hasil titik peluhnya mencari sumbangan.

Redzuan, yang kini bertugas sebagai pegawai khas kepada Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin, juga menekankan mengikut pengetahuannya, sejumlah besar wang dalam akaun itu “datangnya daripada Syed Saddiq”.

Katanya, susulan arahan Syed Saddiq, dia dan Rafiq mengeluarkan wang berkenaan di CIMB KL Sentral, pada 6 Mac 2020.

Redzuan mendakwa, dia mencadangkan Rafiq menyimpan wang itu di kediaman ketua Pemuda Bersatu Setiawangsa Daniel Kusari kerana mempunyai peti besi. Rafiq, tambahnya, bersetuju dengan cadangan itu.

Bagaimanapun, Redzuan memberitahu mahkamah bahawa dia tidak mengetahui jumlah wang yang diserahkan Rafiq kepada Daniel, sambil menyatakan Rafiq ada menghubunginya untuk memaklumkan sejumlah wang yang tidak diberitahu juga ada diserahkan kepada Naqib Rahim.

Naqib merupakan ahli Bersatu yang juga pembekal pakaian dan cenderahati kepada parti itu.

Redzuan mendakwa, ahli exco pemuda Bersatu ketika itu, Hannaan Khairy, yang mencadangkan Naqib menyimpan wang terbabit.

Terdahulu, Naqib memberitahu mahkamah dia menerima RM250,000 daripada Rafiq, manakala Hannaan mendakwa beliau ditekan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadi saksi pendakwaan kerana takut dikenakan pertuduhan terhadapnya membabitkan kes lain.

Syed Saddiq, yang kini presiden Muda, berdepan empat pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), salah guna dana dan pengubahan wang lebih RM1 juta milik Pemuda Bersatu.

Gobind Singh Deo mewakili Ahli Parlimen Muar itu, manakala Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azhar Abdul Hamid bersambung esok. – FMT

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,593FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat