Cyberjaya, 4 Jun – Dalam usaha memperkasa pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan persiapan akademik dan mental yang kukuh, Pusat Tuisyen Terbaik Inspirasi (PTTI) telah menganjurkan program Road Tour Mula Awal Skor A+ SPM PTTI, yang kini mencatat sejarah sebagai seminar akademik terbesar di Malaysia dengan kehadiran lebih 4,000 pelajar dari seluruh negara.
Program mega ini berlangsung dengan penuh gilang-gemilang di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam, dan menjadi titik permulaan kepada road tour pendidikan yang bakal menjelajah ke pelbagai negeri sebagai persediaan awal menghadapi peperiksaan SPM 2025.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman, kejayaan menghimpunkan ribuan pelajar ini bukan sekadar pencapaian logistik, tetapi lebih penting lagi – ia mencerminkan kesungguhan dan inisiatif luar biasa generasi muda dalam mempersiapkan diri untuk masa depan.
“Pelajar-pelajar yang hadir ini adalah dalam kalangan calon SPM tahun ini dari seluruh Malaysia. Di Selangor sahaja, seramai lebih 3,000 pelajar hadir. Ini adalah pencapaian terbesar kami – lebih 4,000 pelajar berkumpul untuk belajar dari pagi hingga malam. Mereka tahu cabaran pembelajaran hari ini tidak mudah, tetapi mereka tetap hadir dengan semangat tinggi,” jelas beliau dalam sidang media selepas majlis.
Beliau turut menekankan bahawa antara faktor kekuatan PTTI ialah pendekatan teknik pembelajaran berfokuskan subjek kritikal, terutamanya Sains Tulen dan Matematik, yang sering dianggap mencabar oleh ramai pelajar.
“Kami percaya dengan teknik dan formula yang kami bangunkan, pelajar bukan sahaja mampu faham subjek yang susah – malah mereka boleh cemerlang. Matematik adalah salah satu subjek paling tinggi pencapaian A dalam kalangan pelajar kami sekarang,” ujarnya lagi.
Road Tour Mula Awal Skor A+ SPM adalah satu inisiatif yang telah menjadi acara tahunan PTTI sejak sebelum pandemik. Namun, pasca pandemik, ia berkembang dengan skala yang lebih besar, menyesuaikan pendekatan pembelajaran fizikal dan dalam talian untuk memastikan lebih ramai pelajar dapat menerima manfaatnya.
Program ini merangkumi sesi intensif untuk subjek-subjek utama seperti Matematik, Bahasa Melayu, Sejarah, Kimia, Biologi dan Fizik, di samping teknik menjawab soalan, kaedah ulang kaji berkesan, dan modul motivasi yang membantu membina mentaliti pelajar cemerlang.
“Sebelum pandemik, kita hanya fokus kepada pembelajaran fizikal. Tapi bila kita mula buat online, kita nampak pelajar dari seluruh negara akhirnya dapat akses pembelajaran berkualiti. Kami antara yang terawal adaptasi online, dan dari situ kita nampak impak luar biasa. Ini bukan lagi soal lokasi – ini soal peluang,” kata Cikgu Farhana lagi.
Lebih membanggakan, PTTI turut diumumkan sebagai penerima dua rekod daripada Malaysia Book of Records (MBOR), iaitu:
-
Most Straight A’s in a Tuition Centre – 400 pelajar PTTI memperoleh keputusan semua A.
-
Most SPM Grade A’s Obtained by a Tuition – 18,432 gred A dikumpulkan secara keseluruhan.
Namun, menurut pihak pengurusan, matlamat PTTI bukan sekadar mencatat rekod – tetapi memberi inspirasi.
Acara di Shah Alam itu turut menyaksikan kehadiran tokoh muda dan selebriti popular seperti Syed Saddiq, Bella Astillah, MK K-Clique, Iman Troye, Zaki Yamani, dan Nabila Razali, yang tampil berkongsi kisah jatuh bangun dan pengalaman peribadi dalam membina kejayaan. Kehadiran mereka menjadi suntikan motivasi luar biasa kepada para pelajar yang hadir.
“Kita bawakan ikon-ikon ini bukan hanya untuk glamour, tapi sebagai simbol harapan dan contoh bahawa semua orang boleh berjaya kalau ada usaha dan disiplin,” kata Cikgu Farhana.
Dengan pengalaman lebih 10 tahun dalam pendidikan, PTTI kini bersedia mengorak langkah lebih besar. Tahun hadapan, mereka menyasarkan 1,000 pelajar SPM 2025 akan meraih straight A, hasil bimbingan akademik sistematik yang disediakan melalui rangkaian seminar, modul pembelajaran dalam talian, dan sokongan motivasi berterusan.
PTTI turut membuka ruang kepada kerjasama dengan mana-mana pihak, termasuk agensi kerajaan dan institusi pendidikan, bagi meluaskan jangkauan impak mereka.
“Objektif kami tak pernah berubah – membantu lebih ramai pelajar. Kami percaya dengan kolaborasi yang betul, kita boleh bina generasi Malaysia yang lebih hebat,” ujar Cikgu Farhana, menutup sidang media dengan penuh keyakinan.
PTTI bukan sekadar pusat tuisyen – ia adalah gerakan pendidikan nasional yang menjulang potensi pelajar dari seluruh pelosok negara. Dari jalan kampung ke dewan besar, impian anak muda Malaysia kini sedang dilakar dengan lebih yakin, satu kelas pada satu masa.