KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu, untuk merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan antaranya, sama ada Perdana Menteri itu mempunyai imuniti daripada sebarang saman sivil.
Hakim, Roz Mawar Rozain memutuskan demikian selepas mendapati permohonan berkenaan tidak memenuhi peruntukan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (CJA).
Ketika membaca keputusan tersebut, beliau berkata, tiada satu pun peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang, menimbulkan sebarang persoalan undang-undang perlembagaan yang nyata, substantif atau boleh diadili, hingga memerlukan penentuan oleh Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 128(2) PP atau Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
“Dari perspektif kehakiman, persoalan yang dicadangkan tidak kelihatan memenuhi ambang kontroversi Perlembagaan yang tulen,” katanya
Pada 23 Mei lalu, Anwar memohon Mahkamah Tinggi untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan bagi diputuskan, antaranya sama ada beliau mempunyai imuniti daripada saman sivil difailkan bekas penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther yang mendakwa beliau menyerangnya secara seksual.
Menerusi permohonan yang difailkan oleh firma guamannya, Tetuan Zain Megat & Murad minggu lalu, Anwar memohon agar Mahkamah Persekutuan memutuskan sama ada Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberi beliau kekebalan bersyarat daripada saman berkenaan.
Beliau turut memohon agar mahkamah mempertimbangkan sama ada saman tersebut menjejaskan keupayaannya menjalankan tugas eksekutif serta melemahkan prinsip pengasingan kuasa yang dijamin oleh Perlembagaan.
Anwar juga mahu mahkamah menentukan sama ada prosiding saman tersebut melanggar haknya untuk dilayan sama rata di sisi undang-undang seperti diperuntukkan dalam Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan, terutamanya kerana beliau mendakwa saman tersebut merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.
Yusoff Rawther memfailkan saman terhadap Anwar pada tahun 2021, mendakwa bahawa beliau telah diserang di kediaman Presiden PKR itu di Segambut pada Oktober 2018.
Beliau menuntut ganti rugi am, khas, teruk dan teladan, selain faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Saman tersebut berkaitan kejadian yang didakwa berlaku sebelum Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022.
Dalam prosiding ini, Anwar, 78, tidak hadir ke mahkamah dan hanya diwakili peguam-peguamnya, Datuk Megat Abdul Munir Megat Abdullah Rafaie dan Alan Wong Teck Wei sementara peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali hadir bagi pihak Yusoff, 32,lapor Sinar Harian pada Rabu.
Turut hadir ialah peguam, Haniff Khatri Abdullah hadir selaku peguam pemerhati bagi pihak Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) sementara peguam, Vivek Sukumaran untuk Badan Peguam Malaysia.
Menurut saman yang difailkan oleh Yusoff, serangan seksual terhadapnya berlaku pada pada 2 Oktober 2018 di kediaman Anwar di Segambut.
Bekas pembantu penyelidik Anwar itu selaku plaintif mendakwa Ahli Parlimen Tambun itu melakukan serangan seksual dan pencerobohan ke atas dirinya manakala beliau menolak perbuatan defendan serta memintanya berhenti melakukan perbuatan itu.
Plaintif mendakwa akibat kejadian itu, beliau dituduh berkomplot untuk menjatuhkan dan merosakkan karier politik defendan, selain memberi impak kepada kesihatan mentalnya kerana mendapat kritikan daripada pemimpin politik, yang menyokong Anwar serta orang awam.
Oleh itu, Muhammed Yusoff menuntut ganti rugi khas, umum, teruk, teladan, faedah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Sekitar September 2021, Anwar memfailkan tuntutan balas terhadap Yusoff dengan menyatakan dakwaan salah laku seksual itu ‘palsu dan direka’.
Dalam pernyataan pembelaan dan tuntutan balas itu, Anwar mendakwa bahawa serangan seksual yang didakwa tidak mungkin berlaku.
Ini kerana pada tarikh yang dikatakan serangan itu berlaku, bekas Ahli Parlimen Port Dickson berkenaan sedang melayani keluarga dan rakan di kediamannya di Bukit Segambut, di sini.
Sehubungan itu, Anwar menuntut daripada Yusoff ganti rugi umum, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, faedah, kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.