Gabungan Baharu Melayu: Mahathir Tidak Ajak Umno, Tapi Sasar Ahlinya

- Advertisement -

PUTRAJAYA, 4 Jun – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan penubuhan satu gabungan baharu berteraskan perpaduan Melayu, dengan matlamat utama untuk “memulihkan kuasa politik Melayu” dalam kerajaan.

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa beliau tidak menjemput UMNO sebagai parti, sebaliknya hanya mempelawa ahli-ahli UMNO secara individu yang menyokong usaha penyatuan Melayu.

“Saya jemput ahli UMNO kerana mereka adalah orang Melayu. Jika mereka bersetuju dengan usaha kami, kami alu-alukan,” katanya dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini.

Turut hadir ialah Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin; dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Mahathir berkata, gabungan ini bukan sebuah parti politik rasmi tetapi merupakan pakatan longgar atau “payung besar” bagi menghimpunkan sokongan orang Melayu.

“Kalau ada banyak kumpulan yang cuba satukan orang Melayu, akhirnya kita berpecah. Kita hanya boleh menang kalau bersatu. Dan hanya bila menang, kita dapat kuasa semula,” tegasnya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap situasi semasa orang Melayu yang menurutnya menghadapi kemerosotan politik dan ekonomi, selain tekanan terhadap hak-hak dan suara mereka.

Katanya, kerajaan kini menghadkan kebebasan bersuara terutama dalam isu-isu yang melibatkan 3R – kaum, agama dan institusi diraja – sehingga ramai orang Melayu takut bersuara.

“Kerajaan larang kita bercakap mengenai orang Melayu. 3R jadi pantang. Apa yang saya cakap hari ini mungkin tak keluar dalam akhbar, hanya ada di media sosial. Ini kerajaan zalim,” katanya.

Mahathir turut menyatakan bahawa kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan semakin dipinggirkan kerana “banyak bahasa lain digunakan.”

Mengulas tentang masa depan gabungan itu, Mahathir berkata mereka akan mula merancang untuk menghadapi pilihan raya akan datang demi mengembalikan kuasa politik kepada orang Melayu.

Terdahulu, pada Mei lalu, Mahathir menyatakan bahawa parti-parti Melayu termasuk dalam PN telah gagal menyatukan orang Melayu kerana masing-masing membawa agenda sendiri.

Gabungan baharu ini bukanlah usaha pertama Mahathir dalam menyatukan parti-parti Melayu. Pada Ogos 2022, beliau mengasaskan Gerakan Tanah Air (GTA) namun meninggalkannya pada Mei 2023 selepas prestasi buruk dalam PRU15 di mana semua calon GTA termasuk beliau dan anaknya, Mukhriz Mahathir, kalah dan hilang deposit.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat