KUALA LUMPUR – Calon yang mahu bertanding bagi merebut jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Pas perlu melalui tapisan Majlis Syura Ulamak parti.
Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak Pas Mokhtar Senik berkata, parti Islam berkenaan perlu mewujudkan peraturan khas berkenaan untuk mengawal kualiti kelayakan bagi memegang dua jawatan tertinggi tersebut.
Jelas Mokhtar, Majlis Syura Ulamak perlu diberi kuasa untuk menggugurkan calon yang tidak layak daripada bertanding bagi merebut jawatan yang kini disandang oleh Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
“Kalau ada dua calon layak sahaja maka orang itu sahaja bertanding. Mereka yang tak layak digugurkan Majlis Syura.
“Ini bertujuan mengawal kualiti kelayakan penjawat kedua-dua jawatan itu.
“Sebab saya bimbang semua orang merasakan dia layak,” katanya menerusi hantaran di Facebook,pada Rabu.
Mokhtar berkata demikian selepas wujud ura-ura bahawa dua jawatan itu akan dipertandingkan pada pemilihan Pas yang dijangka berlangsung pada September ini.
Kali terakhir dua jawatan tersebut dipertandingkan adalah pada 2015 iaitu menyaksikan Hadi menewaskan Ahmad Awang manakala Tuan Ibrahim pula berjaya merampas kerusi Timbalan Presiden daripada Datuk Seri Mohamad Sabu.
Pertembungan antara kumpulan pro ulamak dan profesional pada pemilihan itu menyaksikan ramai pemimpin Pas keluar termasuk Mohamad, Khalid Abdul Samad dan Datuk Seri Dzulkefly Ahmad sehingga menubuhkan Parti Amanah Negara (Amanah).