KUALA LUMPUR – Kerjaan menggesa Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dan agensi berkaitan melaksanakan usaha bagi memajukan industri penerbitan buku tempatan dan menggalakkan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengannya.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, budaya membaca perlu diterapkan bagi melahirkan masyarakat yang bertamadun, berilmu pengetahuan dan berkeperibadian unggul.

“PBAKL merupakan pesta buku terbesar negara yang mampu menjadi pemangkin kepada perkembangan industri buku dan memupuk budaya membaca serta mewujudkan masyarakat celik ilmu.

“Kerajaan akan terus menyokong Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), serta sebarang aktiviti penerbitan buku sebagai perusahaan pendidikan dan budaya bagi memperkukuh budaya membaca,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 hari ini.

Dengan mengambil contoh ketika lawatan kerja ke jepun minggu lalu, beliau berkata budaya membaca menjadi salah satu sebab kejayaan negara Matahari Terbit itu.

“Ketika berada di Jepun bagi lawatan kerja ke Jepun minggu lalu, saya dapat lihat sikap cintakan ilmu bukan sahaja dari kalangan anak muda, malah golongan dewasa juga mempunyai sikap yang sama,”

Dalam pada itu beliau meminta agar pihak pengarang, penerbit dan semua pemegang taruh dalam industri buku memainkan peranan dalam menghasilkan buku yang berkualiti dan seterusnya memperkasakan industri ini.

“Usaha ini juga dapat menyokong pertumbuhan dan memupuk kelangsungan pembinaan negara bangsa melalui budaya membaca.

“Kegagalan kita mengekalkan budaya membaca bukan hanya menjejaskan dan menghancurkan usaha Kerajaan membina sebuah negara bangsa yang berjaya tetapi juga ‘membunuh’ bukan hanya industri buku tetapi juga karyawan-karyawannya,” katanya.