SINGAPURA, – Parti Tindakan Rakyat (PAP) mengekalkan dominasi politiknya dalam Pilihan Raya Umum 2025 (PRU2025) apabila meraih 87 daripada 97 kerusi Parlimen, sekali gus mengekalkan majoriti dua pertiga yang kukuh.
Memetik laporan Bernama, parti pemerintah itu turut mencatat peningkatan dalam undi popular kepada 65.57 peratus, naik lebih empat mata peratusan berbanding 61.2 peratus pada pilihan raya lalu. Keputusan ini dilihat sebagai isyarat sokongan padu rakyat terhadap Perdana Menteri sementara merangkap Setiausaha Agung PAP, Lawrence Wong, yang mengetuai parti itu buat pertama kali dalam pilihan raya umum.
Lima kerusi dalam GRC Marine Parade Braddell Heights dimenangi tanpa bertanding. Wong sendiri berjaya mempertahankan kerusinya di GRC Marsiling Yew Tee dengan keputusan cemerlang, memperoleh 73.46 peratus undi peningkatan hampir 10 peratus berbanding PRU2020.
Di pihak pembangkang, Parti Pekerja (WP) kekal sebagai blok oposisi utama dengan mengekalkan 10 kerusi, termasuk di SMC Hougang serta dua GRC Sengkang dan Aljunied. Tiada penambahan kerusi berjaya dicapai kali ini.
Beberapa parti lain seperti Red Dot United, Parti Demokratik Singapura (SDP), Parti Kemajuan Singapura dan Perikatan Rakyat bagi Pembaharuan pula gagal meraih sebarang kemenangan. SDP turut menerima tamparan hebat apabila Setiausaha Agungnya, Dr Chee Soon Juan, tewas di SMC Sembawang West kepada calon PAP, Poh Li San.
Sementara itu, dua calon bebas di SMC Radin Mas dan Mountbatten berjaya menyelamatkan deposit pilihan raya masing-masing selepas memperoleh sekurang-kurangnya 12.5 peratus undi.