Keselamatan penumpang bas ekspres menjadi keutamaan – Anthony

- Advertisement -

Oleh: Zihan Zari

KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengingatkan kepada semua pengendali bas ekspres agar memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada para pengguna dan mengamalkan pemanduan berhemah.

Beliau berkata demikian ketika membuat tinjauan dan menyantuni pengguna di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) pada Selasa.

Turut sama, Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Datuk Azlan Shah Al Bakri dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maju Holdings, Datuk Roslan Dato’ Sharif.

Menurut Anthony, APAD telah meluluskan sebanyak 218 bas tambahan setakat 29 Mac lalu melalui permohonan Lesen Perubahan Sementara (LPS) bagi menampung permintaan tiket yang tinggi untuk balik kampung sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Manakala sebanyak 256 bas tambahan telah diluluskan oleh APAD pada tahun lepas.

Menurutnya, jumlah bas tambahan dijangka akan meningkat sehingga permohonan LPS ditutup pada 4.00 petang Selasa.

Katanya, APAD telah memastikan bas-bas tambahan yang diluluskan disaring agar mematuhi semua kriteria-kriteria permohonan seperti telah diluluskan pemeriksaan keselamatan kenderaan PUSPAKOM.

GPS perlu sentiasa berfungsi bagi memantau pergerakan serta merekodkan kelajuan kenderaan.

“Terminal-terminal bas termasuk di TBS perlu mempunyai kesiapsiagaan yang tinggi untuk mengendali lonjakan jumlah penumpang sempena musim balik kampung.

“Sebagai langkah persediaan, pihak TBS telah menambah jumlah kakitangan untuk mengawal pengurusan trafik dan pengerakan penumpang yang dijangka akan meningkat pada 4 hingga 9 April ini. Selain itu, kaunter tiket dan kaunter pertukaran tiket telah ditambah,” katanya lagi.

Beliau berkata, kawalan keselamatan 24 jam oleh Unit Polis Bantuan telah dipertingkatkan dengan kerjasama PDRM dan pemantauan keselamatan berterusan melalui 623 buah CCTV untuk memantau keselamatan orang awam.

Menurutnya, operasi bersepadu pihak JPJ dan PDRM akan membuat pemeriksaan kenderaan dan dokumen bagi menjamin ketersediaan pemandu dan keadaan fizikal bas supaya selamat digunakan sepanjang musim perayaan ini.

Katanya, pengalaman pengguna atau user experience yang baik, penting bagi melancarkan pergerakan pengguna.

Dalam hal ini, pihak TBS telahpun mengambil inisiatif untuk memastikan status tiket dan sebarang makluman jadual perjalanan adalah dikemaskini melalui Sistem Paparan Maklumat Pengguna (Passenger Information Display System) dan melalui saluran media sosial

Selain itu, pihak TBS juga telah memperkenalkan penggunakan Kod QR bagi pembelian atas talian.

Katanya, penumpang hanya perlu mencetak dan boleh terus ke Balai Pelepasan selepas mengimbas Kod QR di Auto Counter Gate (AGC) bagi mengurangkan kesesakan di kaunter dan pintu masuk utama.

Katanya, sehingga kini beberapa penyedia sistem Tiket Online (OTA) utama iaitu GoHub, BusOnlineTicket dan RedBus telah berjaya dan menambah baik pelaksanaan integrasi sistem dengan TBS untuk penggunaan kod QR.

Ujarnya, pengendali bas ekspres yang masih belum menggunakan sistem pelepasan mengunakan kod QR dapat melaksanakannya dengan kadar segera, selari dengan aspirasi pendigitalan kementerian.

“Kira-kira 65% pembelian tiket bas ekspres, tahun lepas adalah melalui atas talian berbanding 35% tiket yang dibeli di terminal. Justeru , pelaksanaan integrasi ini harus dititikberatkan,” ujarnya lagi.

Beliau turut menasihatkan agar orang ramai merancang perjalanan dengan baik agar selamat sampai ke destinasi masing-masing dan dapat berhari raya bersama sanak saudara serta keluarga. – Suara.TV

author avatar
Mohd Faizul
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat