SPRM cari bekas pegawai Rafizi, bantu siasatan perjanjian RM1.1 bilion

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan seorang bekas pegawai kepada bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli, bagi membantu siasatan.

SPRM berkata pihaknya sedang menjejaki Chai Jin Shern, yang juga dikenali sebagai James Chai dan memohon orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaannya supaya menghubungi pegawai penyiasat Hafidz Abd Halim di talian 017-5046503.

“Alamat terakhir Chai Jin Shern yang diketahui ialah 10, Jalan Nikel 7/26A, Seksyen 7, 40000 Shah Alam, Selangor,” katanya dalam satu kenyataan.

James Chai sebelum ini merupakan pegawai tugas-tugas khas kepada Rafizi ketika Ahli Parlimen Pandan itu memegang jawatan sebagai Menteri Ekonomi.

Beliau meninggalkan kementerian itu selepas Rafizi meletakkan jawatan sebagai menteri pada Mei lalu.

James Chai merupakan graduan undang-undang dari Universiti Oxford dan seorang penulis. Beliau juga merupakan felo pelawat di ISEAS-Yusof Ishak Institute di Singapura serta kolumnis untuk CNA.

Minggu lalu, satu sumber SPRM berkata ketua setiausaha Kementerian Ekonomi antara beberapa saksi yang akan dipanggil agensi itu dalam siasatan berhubung perjanjian bernilai RM1.1 bilion antara kerajaan dan sebuah firma asing.

Sumber itu berkata perjanjian tersebut didakwa diluluskan secara tergesa-gesa walaupun tidak mendapat persetujuan kementerian kewangan serta kementerian pelaburan, perdagangan dan industri.

Sumber berkenaan turut mendakwa beberapa individu diberikan jawatan kanan dalam syarikat asing terbabit selepas mereka berhenti berkhidmat dengan kerajaan.

Rafizi sebelum ini menuduh SPRM menjalankan siasatan yang bermotifkan politik terhadapnya, lapor FMT pada Rabu.

Beliau berkata dakwaan terhadapnya berkisar kepada dua dasar utama kerajaan – Program Visi Silikon dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) – yang menurutnya telah melalui pelbagai peringkat kelulusan kerajaan, termasuk kelulusan Jemaah Menteri.

Program Visi Silikon melibatkan kerjasama antara kerajaan dan syarikat semikonduktor berpangkalan di United Kingdom, ARM Holdings, bagi menghasilkan cip semikonduktor pertama negara.

NETR pula menggariskan sasaran peralihan tenaga negara sehingga 2050 dan melibatkan pelaburan besar dalam industri hijau.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat