KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin menjelaskan ketidakhadirannya semasa pengundian Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 pada 2 Mac lalu adalah disebabkan keadaan banjir serius yang melanda kawasan Parlimen Tenom.
Menurutnya banjir yang melanda sejak 25 Februari lalu disifatkan antara yang terburuk pernah direkodkan di kawasan tersebut, menjejaskan 61 kampung dan melibatkan kira-kira 4,000 Ketua Isi Rumah (KIR).
“Bermula 25 Februari 2026, Parlimen Tenom telah dilanda bencana banjir yang merupakan antara yang terburuk pernah direkodkan dalam sejarah kawasan ini, menjejaskan 61 buah kampung melibatkan kira-kira 4,000 Ketua Isi Rumah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Riduan berkata, situasi bencana itu menyebabkan kerosakan besar termasuk kemusnahan kediaman, gangguan kepada infrastruktur asas serta pemindahan besar-besaran penduduk ke pusat pemindahan sementara.
“Dalam keadaan sedemikian, penyelarasan segera bersama Pejabat Daerah, agensi keselamatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta pasukan sukarelawan amat diperlukan bagi memastikan bantuan dapat disampaikan dengan cepat, tersusun dan berkesan,” katanya.
Riduan turut memberitahu bahawa beliau telah memaklumkan secara rasmi kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri II dan Yang Dipertua Dewan Rakyat berhubung ketidakhadiran tersebut.
Dalam kenyataan sama, beliau memohon maaf atas ketidakhadiran itu dan menegaskan ia bukan mencerminkan sikap tidak mengambil peduli terhadap proses demokrasi.
“Ketidakhadiran ini bukanlah cerminan sikap tidak mengambil peduli terhadap proses demokrasi, tetapi merupakan satu keputusan sukar yang dibuat demi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Tenom terpelihara,” katanya.



