Berlin,– Malaysia terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju dalam ekosistem halal global apabila memperluaskan konsep pelancongan mesra Muslim ke dalam sektor spa dan kesejahteraan melalui pelancaran program spa mesra Muslim pertama di dunia.
Langkah strategik itu dimeterai menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Islamic Tourism Centre (ITC) dan Association of Malaysian Spas (AMSPA) sempena pameran pelancongan antarabangsa ITB Berlin di Jerman.
Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Ketua Pengarah ITC, Mohammad Faisal Abu Suaib Khan dan Presiden AMSPA, Selinastein Mohd Rashid, serta disaksikan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing. Turut hadir menyaksikan majlis itu ialah Duta Besar Malaysia ke Republik Persekutuan Jerman, Mohamad Razdan Jamil dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim.
Kerjasama berkenaan akan menyaksikan ITC melaksanakan garis panduan serta program latihan Spa Mesra Muslim yang tersusun kepada 100 ahli AMSPA melalui modul latihan khusus, program pembangunan kapasiti dan rangka kerja pengiktirafan rasmi.
Program ini merupakan yang pertama seumpamanya di peringkat global dan mencerminkan komitmen Malaysia untuk memperkukuh piawaian dalam segmen kesejahteraan halal, selain meletakkan negara sebagai rujukan utama bagi destinasi yang ingin meneroka pasaran pelancongan Muslim yang semakin berkembang.
Pembangunan perkhidmatan spa dan kesejahteraan mesra Muslim juga dilihat tepat pada masanya ketika Malaysia bersedia menerima peningkatan ketibaan pelancong sempena kempen Tahun Melawat Malaysia.
ITC membangunkan garis panduan spa dan kesejahteraan tersebut bersama AMSPA dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan merujuk kepada piawaian Spa Halal SMIIC yang diterima pakai di peringkat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Garis panduan ini merupakan antara komponen utama dalam program Muslim-Friendly Tourism and Hospitality Assurance and Recognition (MFAR) yang turut merangkumi piawaian bagi premis penginapan pelancong serta syarikat pengendali pelancongan mesra Muslim.
Menurut Mohammad Faisal, sektor pelancongan memainkan peranan penting sebagai penghubung pelbagai komponen dalam ekonomi halal termasuk kewangan Islam, makanan dan minuman halal, fesyen sopan, farmaseutikal, kosmetik, media, rekreasi dan pelancongan.
Katanya, perkhidmatan spa dan kesejahteraan kini menjadi sebahagian penting daripada keseluruhan pengalaman pelancongan, justeru pembangunan garis panduan serta latihan yang praktikal mampu meningkatkan keyakinan industri untuk melayani pasaran pelancong Muslim secara profesional dan tersusun.
“Apabila pelancong mengunjungi sesuatu destinasi, mereka bukan sahaja menggunakan penginapan dan makanan, tetapi turut terlibat dengan perkhidmatan runcit, kewangan dan kesejahteraan. Penyelarasan semua komponen ini akan memperkukuh pengalaman pelancongan secara keseluruhan,” katanya.
Sementara itu, Selinastein menyifatkan kerjasama tersebut sebagai langkah tepat dan berpandangan jauh dalam membangunkan ekosistem spa mesra Muslim.
Beliau berkata inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen Malaysia untuk menjadikan industri kesejahteraan negara lebih inklusif, dipercayai serta berdaya saing di peringkat global.
Majlis pemeteraian di Berlin itu turut memberi isyarat kepada pengendali spa antarabangsa bahawa kerangka perkhidmatan mesra Muslim semakin menjadi pertimbangan penting dalam perancangan industri pelancongan global.
Selain sektor spa, MFAR turut merangkumi pengiktirafan kepada produk pelancongan mesra Muslim lain termasuk penginapan dan perkhidmatan pengendali pelancongan yang memenuhi keperluan pelancong Muslim berdasarkan piawaian yang dibangunkan Malaysia.
Dengan pengintegrasian piawaian kesejahteraan ke dalam ekosistem pelancongan mesra Muslim, Malaysia dilihat bukan sahaja sebagai destinasi pelancongan utama, tetapi juga sebagai hab rujukan global dalam pembangunan standard industri pelancongan yang memenuhi keperluan pelancong Muslim. – SuaraTV



