KUCHING – Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyediakan peruntukan bantuan persekolahan bernilai RM40 ribu kepada murid sekolah rendah dan menengah di Sarawak bagi membantu sesi persekolahan yang bakal bermula pada 20 Mac 2023.
Seramai 400 orang murid telah menerima bantuan ini melalui program bantuan persekolahan YBR dengan kerjasama Kelab Sukan Dan Kebajikan Bank Negara Malaysia Kuching.
Bantuan tunai sebanyak RM100 bagi setiap murid dari kalangan Asnaf dan keluarga B40, berobjektif bagi membantu ibu bapa atau penjaga membuat persediaan untuk sesi persekolahan anak-anak yang akan bermula tidak lama lagi.
Simbolik replika cek bantuan persekolahan ini kepada murid-murid telah disempurnakan oleh Pengurus Besar YBR, Encik Syaiful Rizal Abdul Ghani di Masjid Darul Rahmah Tambirat, Kuching.
Turut hadir dalam sesi penyampaian ini adalah Ketua, BNM Kuching, Mohd Irman Mohd Din, Pengurus Bank Rakyat Cawangan Kota Samarahan, Halmi Nim Mosli, Penghulu Kampung Tambirat, Tn. Hj Tawel, Pengerusi Masjid Darul Rahmah, Kg. Tambirat, Saini Gapor, Ketua Bahagian Operasi YBR, Encik Mohd Mukhti Abd Rahman dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Encik Mohamad Ghazali Zainal Abidin.
Sementara itu, Syaiful Rizal berkata, melihat keadaan ekonomi yang masih tidak stabil, diharapkan pemberian bantuan tunai ini sedikit sebanyak mampu meringankan urusan kewangan mereka yang menerima bantuan ini dalam menyediakan kelengkapan persekolahan mengikut keperluan masing-masing.
“Pemberian ini dipecahkan kepada dua lokasi yang telah dikenalpasti iaitu di sekitar Kuching dan seterusnya di Mukah dalam masa yang terdekat sebelum sekolah dibuka,” katanya di dalam majlis penyerahan bantuan di sini hari ini.
Tambah beliau lagi, “Bantuan yang disalurkan kepada mereka yang layak ini diharapkan mampu memberi suntikan semangat dan motivasi kepada anak-anak untuk hadir ke sekolah sama seperti mereka yang bernasib baik serta sebagai tanda ingatan.
Jelas Syaiful lagi, usaha ini juga menjadi salah satu strategi dalam mengurangkan kadar ketidakhadiran ke sekolah dikalangan murid-murid di sekitar luar bandar.
Untuk makluman pihak media, bagi tahun 2022, seramai 26,604 murid telah menerima manfaat melalui bantuan persekolahan YBR dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.6 juta yang melibatkan 87 lokasi.