UMNO Perlis terus kerjasama BERSATU/PN pada PRU-15, sanggah MKT

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Biarpun Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO nekad berpisah dengan BERSATU namun, UMNO Perlis tegar mempertahankan kerjasama bersama Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya umum akan datang.

Kata putus itu diberitahu oleh Pengerusi UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim yang mengumumkan UMNO negeri itu akan meneruskan kerjasama dengan BERSATU pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) meskipun keputusan MKT UMNO menamatkan kerjasama itu di peringkat nasional.

“Keputusan UMNO Perlis ialah menyokong kerajaan PN dan semasa pilihan raya kami akan bekerjasama dengan semua parti politik Bumiputera – BERSATU dan PAS,” katanya memetik sebuah portal.

Shahidan berkata UMNO Perlis “akan bekerjasama dengan semua parti-parti politik Bumiputera semasa pilihan raya dan Perlis tidak mahu menjadi (negeri dikuasai) pembangkang”.

Shahidan, yang juga pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Perikatan Nasional, juga menegaskan kerjasama dengan BERSATU dan PAS wajar untuk “memenangi pilihan raya.”

Hari ini, BERSATU mengesahkan menerima surat daripada UMNO memaklumkan keputusan mesyuarat MKT bahawa tiada kerjasama dengan BERSATU pada PRU- 15.

Dalam surat itu, MKT juga memaklumkan kepada Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bahawa kebersamaan UMNO dalam kerajaan PN adalah hanya sehingga Parlimen dibubarkan.

Shahidan berkata UMNO Perlis belum dimaklumkan secara rasmi keputusan MKT itu dan berpegang kepada pendirian rasmi parti sebelum ini.

“Kami tidak tahu, tidak dapat maklumat, dan jika dapat maklumat kita akan buat mesyuarat perhubungan berhubung isu ini. Kita sekarang ini ikut keputusan mesyuarat lepas,” kata beliau.

“Kami tetap dengan pendirian bekerjasama dengan parti-parti politik Bumiputera,” kata beliau.

Sementara itu, UMNO Perak berkata keputusan MKT selari dengan pendiriannya, mengatakan sejak awal lagi ia menegaskan tidak akan bekerjasama dengan BERSATU pada PRU akan datang.

“Perkara ini bukan lagi rahsia, cuma bila ada surat ia jadi rasmi dan menjelaskan keputusan yang sudah dibuat MKT. Semua pun maklum UMNO memang tidak akan bekerjasama dengan BERSATU,” kata Ketua Penerangan Zolkafly Haron.

Sebelum ini, Pengerusi, Datuk Saarani Mohamad memberi amaran kepada BERSATU agar jangan ganggu kerusi UMNO di Perak, sekiranya mahu penyatuan di negeri itu. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat