KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad kini telah ke pulang rumah selepas menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) namun masih berulang-alik menjalani sesi fisioterapi.

Pejabat Tun Dr Mahathir dalam kenyataan pada Jumaat memberitahu sejak Rabu, 2 Februari, Tun telah dibenarkan untuk pulang ke rumah dan kemudian kembali semula ke IJN untuk menjalani sesi fisioterapi dan prosedur perubatan lanjut.

“Dr Mahathir masih menjalani proses rawatan pemulihan di IJN, Kuala Lumpur. Secara teknikalnya beliau masih dirawat tapi IJN benarkan pulang ke rumah dari 8 pagi hingga 4 petang sejak Rabu lalu.

“Dr Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali turut menyampaikan ucapan terima kasih atas doa, ucapan selamat, kiriman bunga dan kad ucapan daripada orang ramai.

“Dr Mahathir akan terus menjalani rawatan pemulihan dan buat masa ini masih dinasihatkan untuk tidak menerima kunjungan pelawat,” katanya.

Bekas Perdana Menteri itu dimasukkan ke CCU IJN pada 22 Januari lalu kemudian dipindahkan ke wad biasa pada 26 Januari.