Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) yang dipengerusikan Perdana Menteri telah membincangkan secara terperinci situasi dan penilaian awal After Action Review (AAR) Monsun Timur Laut (MTL) 2021/2022 telah mencapai persetujuan untuk menggariskan lapan langkah strategik menambahbaikan pengurusan bencana negara yang telah dibentangkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Ismail Sabri memberitahu bencana banjir ini juga mengakibatkan negara mengalami kerugian RM6.1 bilion akibat kerosakan aset awam dan nfrastruktur, tempat kediaman, kenderaan, sektor pembuatan, premis perniagaan dan sektor pertanian.

Katanya, apa yang berlaku ini seharusnya menjadi titik permulaan untuk merangka paradigma baharu bagi menghadapi bencana banjir pada masa akan datang.

Justeru Perdana Menteri berkata, masalah ini harus diselesaikan secara tuntas kerana kerajaan tidak mahu lagi melihat bencana banjir menjejaskan kesejahteraan hidup.

Hal demikian kata beliau, lapan perkara yang dicapai itu merangkumi Pemerkasaan Dasar, Perundangan dan Mekanisme Berkaitan Pengurusan Bencana & Pengurangan Risiko Bencana (DRR); Penekanan Terhadap Inisiatif DRR dan Penyediaan Dana untuk Pengurusan Bencana dan DRR.

“Selain itu, Pengukuhan Mekanisme Koordinasi dan Kompetensi Stakeholders Pengurusan Bencana; Penambahbaikan Sistem dan Penyampaian Maklumat di dalam Pengurusan Bencana dan DRR; Pemerkasaan Dasar dan Mekanisma Koordinasi Bantuan NGO dan Sukarelawan; Peningkatan Kemahiran di dalam Komunikasi Krisis dan Komunikasi Strategik juga Peningkatan Kapasiti Komuniti Setempat dan Tumpuan Terhadap “Localization” di dalam Pengurusan dan DRR.

” Perluasan dasar DRR di peringkat negeri dan daerah dapat memastikan pengurusan bencana banjir dapat dipertingkatkan berikutan satu platform yang diwujudkan bagi menyimpan semua repositori daftar risiko secara sistematik,” jelas beliau.

Hal demikian kata Perdana Menteri lagi, kementerian dan agensi juga turut disaran untuk membuat penetapan sebanyak lima peratus daripada perbelanjaan mengurus dan pembangunan bagi tujuan pengurusan bencana pada masa akan datang. Ini penting bagi persiapan perbelanjaan persediaan bencana,
pemulihan dan pasca bencana serta pencegahan dan mitigasi risiko bencana.

Ujar beliau kerajaan sedar akan perubahan iklim yang turut menjadi salah satu faktor kepada bencana banjir di negara ini. Dalam hubungan ini, pewujudan subjek utama dalam menangani bencana di pelbagai peringkat pendidikan, sekolah, kolej dan universiti akan dilaksanakan agar seluruh Keluarga Malaysia dapat mengadaptasi perkara ini sebagai norma baharu.

“Mesyuarat juga bersetuju dengan penekanan terhadap konsep ‘whole of society approach’ yang perlu diterjemahkan dalam dasar, pengoperasian dan latih amal bencana dengan penglibatan bersama agensi kerajaan dan Organisasi Masyarakat Sivil (CSO).

” Pada masa yang sama, pemerkasaan kapasiti komuniti setempat akan dipertingkatkan melalui ketua komuniti yang akan bertindak sebagai initial responder. Mereka akan dibekalkan dengan kelengkapan asas dan bantuan untuk melaksanakan tindakan awal,” ulasnya.

Selain itu Ismail Sabri berkata, mesyuarat secara dasarnya turut bersetuju dengan cadangan jangka pendek dan jangka panjang yang dikemukakan oleh
Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) untuk menyelesaikan masalah banjir

“Antaranya ialah Mengenalpasti Pusat Pemindahan Sementara (PPS) tetap dan melengkapkannya dengan kemudahan seperti tandas, bilik mandi dan stor untuk penyimpanan barangan keperluan asas bagi mangsa banjir seperti tilam, dan khemah; bagi sekolah berasrama yang dijadikan sebagai PPS, kawasan
asrama akan dijadikan kawasan penempatan mangsa banjir.

“Pihak kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan diberikan tanggungjawab untuk memastikan saluran perparitan dalam keadaan baik; Menaiktaraf, mendalamkan dan melebarkan sungai-sungai utama; Meninggikan benteng dan ban sungai serta parit; Membina lebih banyak tebatan banjir; Membina empangan dan stesen pintu kawalan air (baraj) bagi mengawal kenaikan paras air.

” Membina terowong SMART terutama di bandar yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi seperti di Shah Alam; Membangunkan kawasan penempatan berdaya tahan seperti ‘sponge city’ di China; Mewujudkan takungan air atau ‘kota takungan pinggir sungai’ seperti di Belanda.

” Pemindahan kawasan kampung di tepi sungai yang berisko banjir ke kawasan yang lebih tinggi; Mewujudkan Pusat Ramalan Cuaca Numerikal Kebangsaan; Meningkatkan sistem siren dan amaran berkaitan banjir di pusat JPS selain pemantauan bencana banjir menerusi kamera litar tertutup
(CCTV); Membangunkan sistem ramalan dan amaran banjir berasaskan kecerdasan buatan (artificial Intelligence) serta sistem amaran awal banjir lumpur.

” Menaik taraf 100 buah stesen pencerapan cuaca permukaan automatik sedia ada yang telah usang; Mengawal penebangan hutan; Kelulusan pelan perancangan bandar hendaklah mengambil kira tentang risiko banjir,”kata beliau.

Hal demikian kata Perdana Menteri, peruntukan untuk penyelesaian secara komprehensif ini memerlukan peruntukan yang besar melibatkan ratusan bilion ringgit yang memakan masa panjang, oleh itu mesyuarat bersetuju supaya kerajaan memfokuskan terhadap kawasan berisiko tinggi dan diberikan
keutamaan untuk melaksanakan pelan penyelesaian masalah banjir.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob