Ejen pekerja asing tipu pekerja perlu di kompaun hingga RM30,000 – Johari

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Mana-mana syarikat dan ejen pekerjaan yang sudah memperoleh kuota tetapi gagal menempatkan pekerja asing perlu dikenakan tindakan tegas termasuk kompaun sehingga RM30,000 bagi setiap pekerja.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, tindakan tegas itu penting memandangkan sektor komoditi negara kini berdepan kesukaran mendapat pekerja asing.

Beliau berkata, pihaknya turut mencadangkan perkara itu pada mesyuarat Jemaah Menteri semalam, malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mahu isu pekerja asing itu diselesaikan segera.

“Kita dapat banyak laporan mengatakan banyak pekerja asing datang ke negara kita tapi tak ada kerja. Baru-baru ini di Pengerang, Johor ada 2,500 pekerja asing ditipu ejen pekerjaan.

“Justeru, saya nak cadangkan mana-mana syarikat yang bawa pekerja asing datang ke negara kita dan dalam sebulan masih tak ada kerja, syarikat itu patutnya dikompaun sehingga RM30,000 bagi setiap pekerja.

“Barulah mereka tak berani nak bawa pekerja. Isu ini penting buat Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) bagi mengisi kekosongan pekerja asing di sektor komoditi negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan KPK di sini, hari ini.

Katanya, jika isu ini tidak ditangani segera, ia boleh memberi imej tidak baik kepada negara sedangkan industri amat memerlukan pekerja asing untuk beroperasi.

Johari berkata, beliau mahu kerajaan masuk campur dalam isu itu bagi membolehkan pekerja asing yang ditipu itu dapat ditempatkan di ladang-ladang yang memerlukan pekerja.

“Kalau dia (ejen dan syarikat) bawa datang pekerja, tunggu siapa datang baru nak supply (bekal), ini bermakna dia dah buat benda ini satu perniagaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Johari berkata, isu kekurangan pekerja asing terutama dalam sektor getah amat kritikal memandangkan kira-kira 420,000 hektar ladang getah tidak ditoreh disebabkan ketiadaan pekerja.

“Dianggarkan lebih 70,000 pekerja asing diperlukan bagi mengisi keperluan itu,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan dianggarkan 2,500 pekerja asing yang ditipu syarikat serta ejen pekerjaan mereka kini berada di Pengerang, Johor.

Perkara itu didedahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said malah, isu itu telah dikemukakan kepada Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat