Tak Semua Pandemik COVID-19 Bawa Musibah, Malaysia Catat Penurunan Kes Jenayah Dan Kualiti Udara, Air Lebih Baik

KUALA LUMPUR – Pandemik COVID-19 tidak merencatkan semua pertumbuhan apabila Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini mengeluarkan Laporan Indikator Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) siri ketiga yang mencatatkan prestasi Malaysia adalah baik membabitkan kualiti udara dan air, penurunan kes jenayah, penggunaan internet, peningkatan wanita dalam jawatan pengurusan dan insiden kecederaan pekerjaan yang boleh membawa maut.

Perkara itu diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed namun katanya, terdapat indikator yang terjejas akibat krisis kesihatan yang melanda seluruh dunia.

“Berdasarkan 146 indikator, 49 indikator (34 peratus) bertambah baik, 34 indikator (23 peratus) tidak berubah, manakala 41 indikator
(28 peratus) menurun. Bakinya, 22 indikator (15 peratus) adalah indikator yang tidak boleh diukur dengan statistik (non-statistical indicators).

“Antara indikator yang merosot akibat Pandemik COVID-19 ialah kadar pertumbuhan tahunan KDNK per kapita, bilangan penumpang di lapangan terbangan serta kadar kemiskinan mutlak dan pengangguran,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mustapa memberitahu lagi, pandemik COVID-19 telah memberikan kesan kepada tiga dimensi SDG iaitu sosial, ekonomi dan alam sekitar seterusnya memberi cabaran kepada negara dalam mencapai Agenda 2030.

“Prestasi tiga dimensi bagi tahun 2020 adalah seperti berikut iaitu ekonomi; pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020
menyebabkan aktiviti ekonomi serta sosial terjejas. Sebagai contoh, dalam perkhidmatan pengangkutan bilangan penumpang yang dikendalikan oleh lapangan terbang menunjukkan penurunan yang besar iaitu 75.5 peratus daripada 109.4 juta pada 2019 kepada 26.8 juta pada 2020 berikutan penutupan sempadan.

“Pandemik COVID-19 juga telah membawa perubahan gaya hidup kepada penggunaan teknologi digital dan internet berikutan norma penjarakan
sosial, pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), bekerja dari rumah (BDR) dan pelaksanaan PKP di seluruh negara. Hal ini menyebabkan peratusan individu yang menggunakan internet telah meningkat daripada 84.2 peratus pada 2019 kepada 89.6 peratus pada 2020,” jelas Mustapa.

Katanya, manakala dimensi sosial membabitkan insiden kemiskinan mutlak menunjukkan peningkatan daripada 5.6 peratus pada 2019 kepada 8.4 peratus pada 2020 kesan daripada pandemik COVID-19.

“Pengukuran ini adalah berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) nasional iaitu RM2,208 sebulan. Bilangan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat pula meningkat kepada 623,800 berbanding 561,700 pada 2019. Bantuan ini meliputi 11 jenis bantuan kepada kanak-kanak, orang tua dan orang kurang upaya.

“Bagi aspek keselamatan, bilangan jenayah kekerasan telah menurun kepada 253 kes pembunuhan pada 2020 berbanding 310 kes pada 2019.

“Dari segi alam sekitar pula, kualiti udara bagi purata tahunan tahap habuk halus bersaiz 2.5 mikron (PM2.5) di bandar bertambah baik kepada 14 µg/m3 pada 2020 berbanding 23 µg/m3 (2019),” ujar beliau.

Namun begitu Mustapa berkata, kuantiti buangan klinikal pada 2020 telah menunjukkan peningkatan sebanyak 18.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Peningkatan ini sebahagiannya disebabkan oleh peningkatan sisa buangan daripada fasiliti kesihatan seperti peralatan perlindungan diri (PPE) yang digunakan dalam pengendalian pesakit COVID-19.

“Malaysia telah mencapai kemajuan yang ketara dalam mengarus perdanakan SDG dalam perancangan pembangunan negara. Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe11), Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dan Bajet 2022 telah dijajarkan kepada SDG,” katanya.

Untuk rekod, SDG telah dilancarkan pada tahun 2015 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan diterima pakai oleh
192 negara anggota.

SDG menjadi panduan untuk Kerajaan merangka dasar bagi memastikan masa depan yang mampan. Ini merangkumi semua cabaran pembangunan dunia moden termasuk ekonomi, sosial, dan alam sekitar.