BENTONG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Negeri Pahang patut dijadikan negeri contoh dari segi pengurusan Felda di negara ini berikutan ia merupakan negeri yang memiliki kawasan tanah rancangan terbesar.
Memetik Pahang Media, katanya, kawasan Felda di negeri ini tidak pernah diganggu pentadbirannya setakat ia diwujudkan.
“Pahang mempunyai kawasan Felda terbesar, dari zaman Tun Razak, Dato’ Sri Najib, Dato’ Sri Nan (Adnan Yaakob), sampailah Wan Rosdy, kawasan ini tidak pernah ditutup atau dikurangkan.
“Kita punya peranan Kerajaan itu kena stabil. Untuk apa? Untuk Wan Rosdy ambil tanah? Tak. Untuk gunakan kuasa jaga keharmonian rakyat.
“Kebetulan Felda ini terbesar (kawasan) di Negeri Pahang dan dengan rekod yang ada ini saya nak jadikan Negeri Pahang contoh terbaik urus kawasan Felda,” katanya ketika berucap pada Karnival Segalanya Felda Bersama YAB Perdana Menteri di Dataran Niaga Felda Chemomoi, pada Isnin.
Menurut beliau, Kerajaan Persekutuan akan turut menyalurkan dan menambah bantuan bagi disalurkan kepada Kerajaan Negeri Pahang.
“Dengan bantuan Kerajaan Persekutuan, dengan langkah awal Kerajaan Negeri Pahang dan oleh kerana rekod Kerajaan Negeri itu baik, saya nak bagi jaminan, bila Menteri Besar telah ambil inisiatif membanggakan di antara jumlah terbesar, yang mana Kerajaan Negeri belanjakan untuk Felda, Insya-Allah kita tambah,” katanya.
Turut hadir, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob; Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir Razali Kassim; barisan exco Kerajaan Negeri Pahang; dan Ahli Parlimen Bentong, YB. Young Syefura Othman.