Kerangka jaringan keselamatan ekuiti bumiputera tidak libat hak kaum lain – Mustapa Mohamed

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerangka jaringan keselamatan ekuiti yang dicadangkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) hanya merujuk kepada penjualan saham dan/atau syarikat oleh agensi mandat bumiputera sahaja, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata agensi mandat bumiputera ini meliputi institusi kepentingan bumiputera dan agensi amanah bumiputera sahaja.

“Cadangan penjualan tidak melibatkan saham dan/atau syarikat yang akan dijual oleh individu bumiputera, bukan bumiputera atau syarikat asing. Sebaliknya, pengumuman ini hanya melibatkan penjualan saham dan/atau syarikat bumiputera oleh agensi mandat bumiputera sahaja.

“Di bawah kerangka jaringan keselamatan ekuiti, penjualan ini akan ditawarkan kepada konsortium, syarikat atau individu bumiputera yang berkelayakan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad.

Beliau berkata kenyataan itu bertujuan memperjelas cadangan berkenaan yang telah menimbulkan beberapa tafsiran yang berbeza.

“Perkara ini juga telah dibangkitkan oleh beberapa pihak sehingga menimbulkan persepsi seolah-olah bumiputera akan mengambil hak kaum lain,” katanya.

Mustapa berkata agensi mandat bumiputera yang dimaksudkan bagi institusi kepentingan bumiputera dalam inisiatif ini ialah Permodalan Nasional Bhd, Lembaga Tabung Haji (TH), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Koperasi Polis DiRaja Malaysia (KPDRM).

Manakala agensi amanah bumiputera pula merangkumi Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN), Majlis Amanah Rakyat (Mara), Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas), Pelaburan Hartanah Bhd (PHB), Perbadanan Nasional Bhd (PNS), VentureTECH Sdn Bhd, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), katanya.

Mustapa berkata pada 2019, pemilikan bumiputera dalam ekuiti korporat berasaskan nilai pasaran hanya 17.2 peratus.

Beliau berkata justeru, pengumuman berkenaan dibuat untuk memastikan pemilikan yang ada akan kekal dalam pegangan bumiputera dan tidak terhakis.

“Cadangan ini tidak akan mengambil hak kepentingan kaum lain,” katanya.

Beliau berkata selain kerangka jaringan keselamatan ekuiti itu, terdapat beberapa perundangan dan peraturan kawal selia pemilikan ekuiti bumiputera yang sedang berkuat kuasa.

“Perundangan dan peraturan ini akan terus berkuat kuasa. Pelupusan saham dan/atau syarikat swasta adalah tertakluk kepada kelulusan pengawal selia sektor kementerian dan agensi berkaitan,” katanya.

Mustapa berkata sebagai contoh, bagi perolehan hartanah yang melibatkan pemilikan hartanah kepentingan bumiputera dan/atau agensi kerajaan bernilai RM20 juta dan ke atas, ia perlu mendapat kelulusan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

“Ini untuk memastikan kepentingan bumiputera dalam syarikat yang sedia ada tidak terhakis,,” katanya.

Semasa membentangkan usul mengenai RMK12, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob telah membuat pengumuman berhubung cadangan memperkenalkan kerangka jaringan keselamatan ekuiti bumiputera.

Mustapa berkata pengumuman tersebut telah menjelaskan bahawa untuk memastikan pemilikan ekuiti bumiputera yang mampan, kerangka jaringan keselamatan ekuiti akan diperkenalkan supaya penjualan saham atau syarikat bumiputera hanya ditawarkan dan dijual kepada konsortium, syarikat atau individu bumiputera yang lain.

— BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat