KUALA LUMPUR – MIC mengesahkan tidak akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Timbalan Presiden Datuk Seri M Saravanan berkata, keputusan dibuat selepas mengambil kira realiti politik dan kemampuan parti.
“Kami sedar kemampuan atau batas keupayaan kami, jadi kami tidak bercita-cita tinggi,” katanya.
Memetik FMT, beliau mengulas pendapat penganalisis politik yang menepis dakwaan Naib Presiden MIC Datuk T Murugiah, parti itu akan bertanding merebut kerusi DUN Sabah suatu hari nanti dengan merujuk landskap politik negeri yang rumit dan jumlah pengundi India terhad.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara dan Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah berkata, MIC juga akan berdepan kesukaran untuk mengatasi skeptisisme sebagai parti Semenanjung.
Merujuk pada dominasi parti tempatan, Kuok Tiung berkata MIC Sabah berada dalam persekitaran politik yang sesak dengan parti tempatan dan ia akan menyukarkan parti itu mendapat kerusi boleh dimenangi tanpa timbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakan kongsi yang berpotensi.
Saravanan juga mengakui kenyataan kedua-dua penganalisis terbabit.



