Rundingan kerusi BN-GRS belum muktamad, BN tak berganjak tetap guna logo dacing – Zahid

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) ketika ini lebih menumpukan kemenangan kerusi-kerusi akan ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka diadakan pada bila-bila masa tahun ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, fokus gabungan itu lebih terarah terhadap aspek tersebut.

“Kesiapsiagaan jentera di seluruh 73 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah telah kita gerakkan sekian lama dan kita sedang melihat kawasan-kawasan tumpuan yang akan kita berikan di Sabah.

“Kita telah memantapkan dan memuktamadkan rundingan dengan Pakatan Harapan (PH) tetapi rundingan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) belum dimuktamadkan. Kita menghormati kerjasama antara PH dan GRS.

“(Tetapi) yang penting adalah soal kemenangan, jadi kita lebih tumpukan kepada kerusi-kerusi yang kita boleh menangi, dan itu lah tumpuan kita,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan warga Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rundingan antara Umno dan GRS yang masih belum menemui titik pertemuan pada masa ini menjelang PRN Sabah, lapor media di Putrajaya.

Ketika ditanya sama ada BN yakin dapat menyelesaikan rundingan bersama GRS menjelang pembubaran DUN secara automatik November ini, Zahid berpendirian parti itu tidak akan menggunakan lambang lain, sebaliknya akan terus bertanding menggunakan logo dacing.

“Kalau perkara itu tidak dapat diselesaikan, pegangan kita tidak akan menggunakan apa-apa juga lambang yang lain. Kita akan terus menggunakan lambang Barisan Nasional,” katanya.

Pada 10 Ogos lalu, media melaporkan rundingan kerjasama dan kerusi dalam gabungan antara BN, PH dan GRS bagi menghadapi PRN Sabah sudah di peringkat hampir selesai.

Rundingan kerusi bagi ketiga-tiga parti Kerajaan Persekutuan dan negeri itu bakal dimuktamadkan sama ada sebelum atau pada pembubaran DUN.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat