Lisa belum sedia jadi pengarah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Aktres, Lisa Surihani, 34, belum bersedia menduduki kerusi pengarah, biarpun suaminya, Yusry Abd Halim percaya bakat dan kebolehan dimilikinya.

Bagaimanapun, Yusry tidak mendesak, sebaliknya lebih memberi galakan sekiranya bintang filem Lagenda Budak Setan dan Istanbul Aku Datang itu berhasrat beralih arah ke dunia pengarahan.

Lisa berkata, perkara itu baru timbul dalam perbualan santai bersama suaminya, baru-baru ini.

“Sebenarnya, perbualan timbul secara tidak sengaja. Yusry merasakan saya sudah bersedia melebarkan sayap ke dalam bidang pengarahan.

“Namun, naluri mengatakan saya belum bersedia dan tidak yakin mengalas tanggungjawab itu.

“Jika ditanya berapa peratus persediaan saya bergelar pengarah, keputusan cukup jelas, saya masih belum bersedia.

 

 

Lisa lebih suka memberi tumpuan kepada kerja penerbitan dan lakonan kerana belum sedia duduk di kerusi pengarah. Foto IG Lisa Surihani
Lisa lebih suka memberi tumpuan kepada kerja penerbitan dan lakonan kerana belum sedia duduk di kerusi pengarah. Foto IG Lisa Surihani

 

Bagaimanapun, Yusry tidak memaksa, sebaliknya mahu melihat saya mempelbagaikan cabang seni. Jika masih belum bersedia, mungkin saya boleh fokus dengan kerja penerbitan dahulu,” katanya kepada BH Online.

Pelakon Harapan Wanita, Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-22 itu berkata, Yusry lebih suka jika dirinya mewakili syarikat produksi mereka dalam mana-mana pertemuan atau sesi perbincangan.

“Ini kerana Yusry merasakan saya sesuai dengan kerja komunikasi, dia pula pemalu,” katanya yang pernah terfikir mengikuti kelas pengarahan, tetapi tidak tahu bagaimana mahu membahagikan masa.

Tambah Lisa, kerjaya seninya lancar dan masih banyak menerima tawaran.

“Setakat ini, saya tidak ada perancangan memperlahankan kerjaya seni biarpun pernah memikirkan masa depan,” katanya.

Namun, wanita kelahiran Kuala Lumpur itu berkata, setakat ini, dia bersyukur masih menerima tawaran berlakon biarpun ramai bakat baharu.

“Sebagai manusia biasa, tentulah pernah terfikir sampai bila akan berada dalam bidang seni. Adakah untuk selama-lamanya? Saya tidak lupa berdoa supaya Allah mengurniakan ilham buat saya.

“Bukakan mata supaya saya dapat melihat dengan jelas perancangan terbaik. Sekiranya rezeki masih tertulis, permudahkan. Jika sebaliknya, berikan saya ruang untuk bekerja dalam bidang lain,” katanya.

Sejak bergelar ibu, Lisa berkata, dia tidak pernah memperlahankan kerjaya seninya. Sebaliknya, perlu bijak memastikan tugas sebagai isteri dan ibu yang bekerja dibahagikan dengan sebaik-baiknya.

Lisa berkata, dia akan memastikan bekerja dalam tempoh maksimum 12 jam. Namun, keputusan hanya dilakukan selepas mendapat lampu hijau syarikat produksi.

“Saya akan berbincang dengan syarikat produksi kerana tidak mahu menyusahkan kru dan pelakon lain.

“Berkenaan watak dan imej bertudung, saya sentiasa meminta pandangan pengarah untuk membawa karakter tanpa perlu babak bersentuhan.

“Apa yang penting adalah komunikasi. Contohnya, bagaimana melakukan adegan romantik melalui kaedah lain tetapi ada impak,” katanya ibu kepada Yahaira Leanne, 5, dan Yusof Leonne, 3, ini.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat