KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli bersetuju dan menyokong usaha Datuk Seri Anwar dan Presiden Prabowo secara untuk mempertimbangkan pembangunan bersama Malaysia dan Indonesia (dipanggil joint development) agar potensi minyak di wilayah pertikaian Ambalat dapat dimanfaatkan.
Hal ini kerana kata Rafizi kaedah ini telah terbukti berkesan memandangkan Malaysia pernah laksanakan di luar pesisir Kelantan dan Thailand.
“Fadhli Shaari keluarkan kenyataan, kemudian Hamzah Zainuddin, kemudian Muhyiddin Yassin. Semua beri gambaran Anwar gadai kedaulatan negara lagi.
Orang bimbang pasal kebebasan institusi kehakiman, tapi PN rasa isu ambalat lagi besar untuk dimainkan.
“Ambalat ni apa? ND6 dan ND7 ni apa? Saya nampak apa yang cuba dilakukan oleh PN, iaitu cuba melambung isu sempadan berkaitan wilayah perairan sekitar timur Sabah sebagai isu emosi, seolah-olah kerajaan menggadai kedaulatan negara,” bidas Rafizi.
Memperincikan isu ini, Rafizi memberitahu menapa isu ini timbul sekarang, ujarnya, Anwar dan Presiden Prabowo secara prinsipnya bersetuju untuk mempertimbangkan pembangunan bersama Malaysia dan Indonesia (dipanggil joint development) agar potensi minyak ini dapat dimanfaatkan.
“Saya bersetuju dan menyokong, malah ini salah satu perkara yang saya bawa semasa di dalam Kabinet dahulu. Kerana kaedah ini telah terbukti berkesan. Kita pernah buat pun di luar pesisir Kelantan dan Thailand.
“Keadaannya sama, iaitu kawasan yang ada tuntutan bertindih antara Malaysia dan Thailand. Tidak dapat dibangunkan selagi tidak ada penyelesaian dan kedua-dua negara tidak berganjak.
“Dalam tahun 1970an, kerajaan kedua-dua negara bersetuju mewujudkan Pihak Berkuasa Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand atau Malaysia-Thailand Joint Development Authority (MTJDA) yang bertindak sebagai pihak berkuasa yang mengendalikan pembangunan bersama di kawasan bertindih itu. Wakil sama banyak, suara sama banyak.
“Dari situlah, kontrak eksplorasi dan pembangunan minyak dapat dijalankan, akhirnya dianugerahkan kepada Petronas dan PTTEP (syarikat minyak Thailand).
“Hari ini, sekitar 30 peratus dari keperluan gas Semenanjung Malaysia dibekalkan dari kawasan bertindih ini. Jika ia tidak dibangunkan secara bersama dan tergendala sehingga kini, 30 peratus keperluan gas Semenanjung perlu diimport dan dibayar pada harga yang tinggi,” katanya.
Menjelaskan situasi terkini, bekas Timbalan Presiden PKR itu berkata, Kerajaan Persekutuan perlu berbincang secara serentak dengan Kerajaan Indonesia dan Kerajaan Sabah, supaya kepentingan Sabah dapat dipelihara dan sebahagian keuntungan pergi kepada rakyat Sabah secara adil.
“Tetapi jika ia dipolitikkan dan rancangan pembangunan bersama ini tergendala, negara dan rakyat, dari Sabah sampai ke Perlis, akan terus kehilangan berbilion ringgit hasil setiap tahun, dalam keadaan hasil minyak kita semakin berkurang.
“Petronas memerlukan pembangunan bersama ini. Insya-Allah, rakyat juga akan mendapat manfaat.
“Kita boleh membangkang sesuatu, tetapi biarlah selepas kita meneliti keseluruhan merit kes itu. Jangan pakai hentam saja,” tempelak beliau.
Rafizi menjelaskan isu Ambalat yang hangat diperkatakan ketika ini, perairan ini terletak di timur Sabah dan utara Kalimantan.
“Peta yang dikeluarkan oleh Malaysia dalam 1979 memasukkan kawasan ini sebagai pelantar benua Malaysia, jadi hak milik Malaysia. Indonesia membantah.
“Dalam tahun 2002, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Pulau Sipadan dan Ligitan adalah milik Malaysia, tetapi tidak jelas mengenai sempadan pelantar benua yang diukur dari pulau-pulau itu.
“Maka, kawasan ini terus menjadi pertikaian sempadan antara Malaysia dan Indonesia sehingga kini.
“Malaysia memanggilnya blok ND6 dan ND7. Petronas pernah menganugerahkan kontrak eksplorasi minyak kepada Shell di blok-blok ini.
“Indonesia memanggilnya ambalat dan pernah menganugerahkan kontrak eksplorasi minyak kepada ENI dan Unocal.
“Oleh kerana isu sempadan dan tuntutan bertindih tidak ada titik penyelesaian, potensi minyak dan gas di kawasan perairan ini terbiar. Sedangkan blok-blok ini dijangka ada rizab minyak dan gas yang besar, iaitu sehingga 1 billion bbl minyak dan 1.4 tcf gas (tcf = trillion cubic feet).
“Rizab ini, kalau ikut ranking, rendah sedikit dari lapangan minyak Brunei tetapi lebih besar dari sebahagian lapangan sedia ada di Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” jelas Rafizi.