KUALA LUMPUR, – Perikatan Nasional (PN) menyuarakan kebimbangan serius terhadap perkembangan terbaru dalam institusi kehakiman negara, selepas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, dilantik memangku dua jawatan tertinggi serentak Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.
Ketua Whip Ahli Parlimen PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, menyifatkan langkah itu sebagai “pelik, belum pernah berlaku dan mengundang kecurigaan besar terhadap keutuhan sistem pemisahan kuasa serta kebebasan badan kehakiman negara”.
“Ini adalah satu perkembangan yang amat janggal dan luar biasa dalam sejarah perundangan negara. Ia mencetuskan persoalan besar tentang prinsip rule of law dalam mana-mana negara demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
PN juga membidas kegagalan Perdana Menteri menyegerakan pelantikan tetap bagi dua jawatan penting tersebut selepas penyandangnya bersara, sambil menggesa penjelasan segera diberikan kepada rakyat.
“Perdana Menteri hari ini sudah mengetuai cabang eksekutif dan legislatif negara secara mutlak. Kini dengan kekosongan ketua cabang kehakiman yang dibiarkan berlarutan, apakah ini satu langkah untuk menyempurnakan pengaruh penuh ke atas semua cabang kuasa Kerajaan?” soal Takiyuddin.
PN turut menggesa Perdana Menteri menafikan secara terbuka sebarang niat campur tangan dalam kebebasan kehakiman serta mempercepatkan pelantikan tetap mengikut lunas Perlembagaan.
“Institusi kehakiman adalah benteng terakhir mempertahankan hak rakyat. Jangan sesekali mengorbankan prinsip ini demi percaturan politik atau agenda sempit kuasa,” tegas beliau.
Kenyataan ini dikeluarkan sehari selepas pengumuman pelantikan sementara Tan Sri Hasnah, susulan persaraan wajib Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan yang masing-masing tidak disambung kontrak. -Suara.TV