KUALA LUMPUR, – Kegagalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedict, menyelesaikan kemelut dalaman antara yang melibatkan pengurusan Yayasan Bank Rakyat (YBR) dan Bank Rakyat kini membawa padah apabila lima bekas pegawai kanan YBR memfailkan saman sivil terhadap kedua-dua entiti itu, dengan tuntutan ganti rugi melebihi RM36 juta.
Difahamkan saman difailkan setelah usaha mendapat keadilan melalui proses mediasi dalaman termasuk melibatkan Menteri Kuskop gagal menemui jalan penyelesaian.
Saman itu difailkan pada 5 Jun lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani, bersama empat pegawai lain yang terdiri daripada bekas Ketua Bahagian Operasi, Mohd Mukhti Abd Rahman; Ketua Sekretariat, Mohamad Ghazali Zainal Abidin; Ketua Bahagian Pentadbiran Korporat, Khairul Na’im Aripan @ Arifin; dan Pengurus Sumber Manusia, Muhamad Johary Abdul Jalil.
Kelima-lima plaintif mendakwa mereka telah dipecat dan digantung secara mengejut, tanpa alasan sah, dan paling serius tanpa mematuhi proses dan tatakelola pengurusan yang sewajarnya.
Mereka menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu bentuk pencabulan ke atas integriti institusi serta satu konspirasi tersusun yang mencemarkan nama baik mereka sebagai pegawai kanan profesional.
Menurut Syaiful, pelantikan beliau sebagai CEO dibuat oleh Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Bank Rakyat, namun pemecatannya dilaksanakan oleh sebuah Jawatankuasa Eksekutif yang baru ditubuhkan, yang didakwanya tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk bertindak sedemikian.
“Punca kuasa pelantikan saya adalah daripada Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Rakyat, tetapi perkhidmatan saya ditamatkan oleh Jawatankuasa Eksekutif yang secara perundangan tidak mempunyai kuasa mengambil alih peranan lembaga,” katanya dalam satu sidang media baru-baru ini.
Beliau turut menyatakan bahawa tindakan tersebut bukan sahaja menjejaskan kerjaya dan reputasi peribadi mereka, malah berpotensi memberi kesan buruk kepada kredibiliti institusi sekiranya terbukti wujud campur tangan luar, khususnya oleh Bank Rakyat sendiri.
Menurut Malaysiakini.com, tuntutan saman oleh Syaiful sahaja mencecah lebih RM4 juta, termasuk:
- Gaji hampir tiga tahun: RM1.3 juta
- Elaun perubatan: RM1.44 juta
- Bonus prestasi tiga tahun: hampir RM1 juta
Tuntutan paling tinggi difailkan oleh Mukhti yang menuntut lebih RM15 juta, antaranya:
- Gaji hingga umur persaraan: RM9.4 juta
- Bonus tahunan: RM5 juta
- Cuti tahunan tidak digunakan: RM895,000
Tuntutan plaintif lain turut mencecah antara RM3 juta hingga RM9 juta, termasuk gaji, elaun dan bayaran pampasan lain.
Desakan siasatan campur tangan Bank Rakyat
Isnin lalu, isu ini mendapat perhatian awam apabila Pengerusi Tekun Nasional, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, menggesa Menteri KUSKOP agar tidak berdiam diri dan segera menyiasat dakwaan campur tangan oleh Bank Rakyat dalam urus tadbir YBR.
Menurut beliau, sebarang usaha campur tangan yang melangkaui bidang kuasa, khususnya oleh institusi kewangan terhadap yayasan di bawahnya, adalah tindakan melampaui batas dan boleh mencetuskan krisis kepercayaan awam terhadap institusi terbabit.
“Saya gesa YB Menteri tampil menyatakan pendirian dan menyiasat dakwaan campur tangan Bank Rakyat yang menyebabkan pemecatan tidak sah ke atas Syaiful Rizal dan pegawai-pegawainya,” katanya.
Abdullah, yang juga bekas Ahli Parlimen PKR dan mantan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), menyifatkan pertelingkahan ini sebagai kegagalan kepimpinan yang harus dipertanggungjawabkan oleh Menteri sendiri.
Laporan Polis
Pada 18 April lalu, Syaiful turut membuat laporan polis mendakwa laporan audit akhir yang dijadikan asas pemecatannya bersifat berniat jahat dan mengelirukan.
Beliau berkata laporan itu tidak konsisten dengan mesyuarat akhir (“exit meeting”) pada 24 Mac yang mana semua isu audit telah dijawab dengan baik tanpa bantahan.
“Amat membimbangkan jika jabatan audit sebuah bank boleh menjadi instrumen untuk menganiaya mana-mana pihak,” katanya.
Sejak Isnin lalu usaha Suara.TV untuk mendapatkan komen rasmi daripada Menteri KUSKOP, Datuk Ewon Benedict, menerusi Setiausaha Akhbarnya tidak mendapat sebarang maklum balas.