KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang Melaka Mohd Yadzil Yaakub membantah keras cadangan kerajaan negeri untuk menghidupkan semula seni tari ronggeng atau joget lambak sebagai daya tarikan baharu pelancong ke negeri berkenaan.
Yadzil mengingatkan Ketua Menteri Melaka Datuk Ab Rauf Yusoff bahawa tarian atau hiburan tidak akan selesaikan bebanan yang sedang dihadapi oleh rakyat.
“Saya cukup kesal dan membantah niat Ketua Menteri Melaka untuk menghidupkan semula tari ronggeng Apa sebenarnya yang difikirkan oleh Ketua Menteri Melaka? Apakah Datuk Seri Rauf sudah ketandusan idea?
“Tari Ronggeng atau joget lambak bukan asal dari Melaka. Ia berasal dari Jawa. Sedikit pun tidak melambangkan budaya Melayu Islam Melaka. Tari ronggeng tidak jauh bezanya seperti kelab malam di tempat terbuka.
“Budaya apa sebenarnya yang ingin dihidupkan oleh Ketua Menteri? Dalam keadaan ekonomi negeri dan rakyat yang sedang terhimpit, peruntukan dana untuk program ini dilihat sebagai pembaziran dan tidak mendatangkan manafaat kepada rakyat Melaka. Banyak lagi masalah yang boleh diselesaikan dengan dana yang ada.
“Rakyat sedang hidup dalam bebanan yang cukup tinggi. Tarian dan hiburan tidak akan selesaikan bebanan yang sedang dihadapi oleh rakyat,” bidas Yadzil dalam kenyataan pada Khamis.
Adun Bemban dari Bersatu itu lagi, GLC Melaka rugi berjuta-juta ringgit, tetapi kerajaan mahu tumpu pada joget lambak?
“Tidak ada bukti kukuh bahawa pelancong akan datang ke Melaka semata-mata untuk menyaksikan joget lambak. Pelancong lebih tertarik kepada keunikan warisan sejarah Melaka, makanan tradisional, dan seni bina bukan hiburan bercampur bebas.
“Banyak lagi produk pelancongan Negeri Melaka yang boleh dipromosikan. Menghidupkan seni budaya tak bermakna kita perlu mengulangi semua bentuk hiburan lama secara literal.
“Seni tari boleh didokumentasi, difilemkan secara berseni, atau ditukar bentuk untuk pembelajaran tertutup di sekolah atau muzium interaktif.
“Kerajaan Negeri Melaka yang dipimpin oleh Datuk Seri Utama Rauf dilihat banyak mengutamakan hiburan dan mewah berbelanja. Kita semua perlu mengambil iktibar dari sejarah kejatuhan Kerajaan Uthmaniyah juga banyak dikaitkan dengan gaya hidup mewah dan suka berhibur di kalangan pemimpin dan elit istana.
Jangan abaikan amanah yang diberi.
“Saya sebagai Adun Perikatan Nasional (PN) akan terus komited membela nasib rakyat Melaka,” tegas Yadzil.
Sebelum itu media melaporkan Kerajaan Melaka bercadang menghidupkan semula seni tari ronggeng atau joget lambak sebagai daya tarikan baharu pelancong ke negeri itu, selain memperkenalkan seni tari berkenaan kepada generasi muda.
Ketua Menterinya, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, usaha itu akan dilakukan dengan teliti dan mengambil kira semua aspek bagi memastikan seni tari tradisional itu dapat diangkat tanpa melanggar hukum syarak.
“Cadangan untuk menghidupkan semula ronggeng atau lebih dikenali sebagai joget lambak ini amat menarik, kerana ia memang bermula di Melaka, namun semakin dilupakan.
“Jadi kita akan menghidupkan semula tarian tradisional ini secara impromptu, selagi tidak melanggar hukum syarak,” katanya.
Ab Rauf berkata usaha mengangkat semula tarian ronggeng berkenaan akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka dengan beberapa pihak lain.
Beliau berkata ronggeng mempunyai keistimewaan tersendiri dan mampu diangkat sebagai antara aset pelancongan negeri seperti Dondang Sayang.