KUALA LUMPUR – Nampaknya plot ‘cari kes’ mahkamah belum berakhir, hari ini Datuk Puad Zarkashi membalas Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan bahawa semasa berkuasa, kes boleh dicari, tetapi tidak dicari.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu menyenaraikan beberapa kes mahkamah yang dipadam.
“Wan Saiful Wan Jan mengulas nasihat saya kepada (Datuk Seri) Rafizi. Nasihat saya ialah jangan terlebih membakar. Takut berakhir masuk penjara. Wan Saiful tambah, “Kes boleh dipadam”.
“Wan Saiful lupa, semasa Bersatu bersekongkol dalam PH 1.0, tiga kes Rafizi yang didapati bersalah telah dipadam. Hatta hukuman juga boleh diubah daripada penjara kepada berkelakuan baik. Sebab itu Rafizi boleh bertanding PRU ke 15.
“Semasa persekongkolan itulah ramai pemimpin Umno termasuk (Datuk Seri) Najib dan (Datuk Seri) Zahid dikenakan puluhan tuduhan.
“Bahkan Najib ada kes SRC 1 dan 2. Enam tahun di tuduh tanpa dibicara.
“Jangan lupa, Syed Saddiq menuduh kes rasuahnya adalah kerana dia jadi mangsa pertuduhan politik oleh (Tan Sri) Muhyiddin. Ingat, semasa berkuasa, kes kamu boleh dicari, tetapi tidak dicari. Kamu cuma padam sahaja,” bidas Puad.
Semalam, Wan Saiful mendakwa beliau pernah dipujuk untuk lompat parti tahun lepas sekali gus seolah-olah membenarkan peringatan Puad kepada bekas Menteri Ekonomi Rafizi agar tidak berlebihan mengkritik kerana bimbang bakal berakhir dalam penjara.
“Saya anggap kenyataan Puad ini memperkukuh persepsi bahawa kerajaan hari ini bermaharajalela memperkudakan agensi penguatkuasa untuk tujuan politik.
“Kalau kes boleh dicari, maksudnya boleh ada yang akan diarahkan untuk mencari. Siapa yang boleh bagi arahan? Siapa yang boleh laksana arahan?
“Jika kes boleh dicari, maka tidak mustahil kes juga boleh dipadam. Itulah tawaran yang diberi kepada saya semasa saya dipujuk untuk lompat parti tahun lepas,” dakwa pimpinan Bersatu itu dalam kenyataannya di Facebook pada Rabu.