KUALA LUMPUR, – Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan hari ini mengumumkan tambahan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi Program Prosperity, Empowerment and A New Normal for Indian Women (P.E.N.N), menjadikan jumlah keseluruhan dana program tersebut mencecah RM100 juta.
Pengumuman penting itu dibuat semasa beliau berucap di hadapan lebih 1,000 Sahabat Usahawan Wanita India Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dalam Majlis Pelancaran P.E.N.N 2.0 yang berlangsung di ibu pejabat AIM, Bandar Sri Damansara.
“Tambahan dana ini adalah hasil kejayaan fasa pertama P.E.N.N yang telah memberi manfaat kepada 6,247 wanita India, termasuk 1,062 usahawan baharu, dengan jumlah pembiayaan mencecah RM42.7 juta,” kata Dato’ Sri Ramanan.
P.E.N.N yang dilancarkan pada 13 April 2024 merupakan inisiatif kerajaan melalui AIM sebagai agensi pelaksana yang bertujuan memperkasa wanita India khususnya dalam bidang keusahawanan. Dengan dana tambahan ini, AIM menyasarkan peluasan program kepada lebih 10,000 penerima di seluruh negara.
Menurut Dato’ Sri Ramanan, pembiayaan ini bukan sahaja membuka ruang kepada lebih ramai penyertaan baharu, malah memperkukuh daya saing peserta sedia ada dalam sektor-sektor seperti makanan, jahitan, kecantikan dan perkhidmatan komuniti.
“Ramai peserta berjaya meningkatkan pendapatan mereka antara 20 hingga 30 peratus. Ini bukti bahawa pendekatan mikro-pembiayaan seperti P.E.N.N mampu menjadi pemangkin perubahan sosioekonomi,” tambahnya.
Permohonan bagi menyertai P.E.N.N 2.0 kini dibuka di semua 124 Pejabat Cawangan AIM di seluruh negara. Program ini menawarkan skim pembiayaan mikro yang mudah, tanpa syarat penyata kewangan, penjamin atau cagaran, selain disertai pemantauan dan bimbingan berterusan.
Sejak ditubuhkan pada 1987, AIM telah menyalurkan lebih RM35.9 bilion kepada rakyat Malaysia, khususnya wanita, dalam usaha membasmi kemiskinan. Pada tahun 2024, AIM mencatat sejarah dengan kadar Non-Performing Loan (NPL) hanya 0.02% – terendah dalam sejarah 38 tahun penubuhannya.