Meta dan X tak ambil tindakan cukup tangani buli siber, penipuan, kandungan bahaya – Fahmi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil membidas gergasi media sosial Meta dan X tidak mengambil tindakan mencukupi untuk menangani buli siber, penipuan dan kandungan bahaya dalam talian.

Beliau berkata hanya TikTok menunjukkan komitmen sebenar dengan menyertai Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia (CMCF) secara sukarela.

“Kita tidak boleh membiarkan platform media sosial ini lepas tangan kandungan boleh mendatangkan bahaya dalam talian, khasnya berkaitan bunuh diri,” katanya ketika melancarkan garis panduan CMCF untuk pelaporan dan perkongsian kandungan berkaitan bunuh diri di sini.

Menurutnya beliau telah meminta CMCF mengadakan libat urus dengan Meta, X dan pemain utama lain, tetapi tiada yang tampil mengambil bahagian.

Beliau berkata TikTok sebaliknya mengambil inisiatif itu “sangat awal, walaupun sebelum kami mengeluarkan lesen untuk media sosial dan sistem mesej dalam talian”.

“Saya memuji pendekatan TikTok untuk menjadi ahli Forum Kandungan secara sukarela,” katanya sambil menambah respons Meta dan X “jauh daripada memuaskan”.

“Facebook, sebagai contoh, kata mereka akan dilesenkan. Tetapi, mereka mesti faham Forum Kandungan bukan diterajui kerajaan. Ia diterajui industri. Ia sebenarnya demi kepentingan mereka untuk mengambil bahagian supaya mereka boleh bantu membangunkan amalan terbaik dan tatakelakuan.”

Rakyat Malaysia kerugian RM53.88 bilion akibat penipuan dalam talian pada 2024 – sekitar 3% daripada keluaran dalam negara kasar. Dari 2021 hingga April 2024, lebih 95,800 individu menjadi mangsa penipuan dalam talian membabitkan kerugian lebih USD708 juta (RM3.18 bilion), menurut Laporan State of Scam 2024.

Kadar bunuh diri turut meningkat secara mendadak. Pada 2022, Malaysia mencatatkan 1,068 kematian akibat bunuh diri – meningkat 66.6 peratus daripada 641 kes pada 2020. Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi (305), diikuti Kuala Lumpur (135), Johor dan Pulau Pinang (masing-masing 123).

Fahmi turut menyeru media vernakular menyokong usaha pencegahan bunuh diri kerana sumber kesihatan mental perlu disediakan dalam semua bahasa utama.

“Kita perlu mendekati akhbar vernakular. Banyak kandungan dalam bahasa Inggeris, tetapi usaha kita mesti difahami dalam semua bahasa,” katanya sambil menggesa wartawan mematuhi garis panduan CMCF dalam melaporkan kes bunuh diri, khasnya melindungi identiti mangsa dan privasi keluarga bagi mengelakkan insiden “peniru”.

“Melaporkan kes bunuh diri paling sensitif dan mengerikan bagi mana-mana wartawan (yang membuat liputan tragedi itu). Kita tidak patut mendedahkan lokasi atau personaliti dalam tragedi sedemikian.”

Menurutnya garis panduan CMCF merangkumi ekosistem digital lebih luas, memberi nasihat praktikal berhubung cara berkongsi pengalaman hidup dengan selamat, mengelakkan kandungan menimbulkan trauma dan membimbing orang ramai ke arah perkhidmatan sokongan sedia ada.

“Pendekatan komprehensif ini mencerminkan pemahaman bahawa setiap individu memainkan peranan dalam mewujudkan persekitaran kandungan lebih selamat dan empati,” lapor FMT.

Katanya kepimpinan Malaysia dalam inisiatif ini mendapat pengiktirafan antarabangsa, dengan garis panduan itu dipilih untuk dibentangkan Persatuan Antarabangsa Pencegahan Bunuh Diri.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat