Jangan tekan PM lantik dua jawatan Menteri Kabinet – Ramanan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu diberi ruang untuk melaksanakan prerogatif dan melakukan keputusan terbaik, termasuk aspek mengisi kekosongan dua jawatan menteri Kabinet.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan, berkata Perdana Menteri tidak perlu ditekan berkaitan hal itu, termasuk kemungkinan Ahli Parlimen Sungai Buloh itu diangkat sebagai menteri selepas memenangi jawatan Naib Presiden PKR pada pemilihan parti bulan lalu.

“Pelantikan menteri adalah keputusan Perdana Menteri dan akan dibuat pada masa yang sesuai. Apabila beliau berasa sudah tiba masa keputusan itu perlu dibuat, ia akan dibuat.

“Pada pendapat saya, kita beri ruang dan jangan beri tekanan buat Perdana Menteri membuat keputusan,” katanya kepada pemberita lapor BH di Petaling Jaya pada Selasa.

Sebelum ini, dua menteri mewakili PKR, iaitu Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, meletak jawatan susulan kekalahan pada pemilihan parti, akhir bulan lalu.

Anwar bagaimanapun menyifatkan tiada keperluan mendesak untuk melakukan rombakan Kabinet buat masa ini.

Namun ada pandangan menyifatkan wujud keperluan untuk merombak Kabinet, susulan tindakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, keluar daripada Umno untuk menyertai PKR.

Jika pun berlaku rombakan Kabinet, Ramanan berkata, inisiatif dan program yang dibawa untuk kebajikan komuniti India akan terus diperjuangkan.

“Soal sama ada saya kekal timbalan menteri atau sebaliknya tidak penting kerana selagi saya dalam politik, saya akan terus berjuang untuk rakyat Malaysia khususnya komuniti India yang agak ketinggalan.

“Kita boleh nampak kebaikan program dan inisiatif kepada komuniti India. Sesiapa yang duduk mana-mana tempat pun contohnya, jika dibatalkan program ini, saya rasa dia akan terima kecaman daripada komuniti India,” katanya.

Ditanya berhubung tindakan Tengku Zafrul yang ingin menyertai PKR, Ramanan berkata, permohonan akan dibincang di peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) seperti mana prosedurnya.

Katanya, penyertaan ke dalam PKR dianggap sebagai nilai tambah untuk parti kerana setiap modal insan memberi kepentingan tersendiri, tidak kira kedudukan seseorang itu besar atau kecil.

“Tengku Zafrul akan melalui proses seperti mana permohonan daripada mana-mana pihak yang ingin menyertai PKR, termasuk tapisan sebelum keputusan sewajarnya dibuat,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat