CYBERJAYA – Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak cadangan Kelab Veteran Umno yang menyarankan agar partinya dibubarkan dan kembali menyertai Umno, menyifatkan idea itu sebagai tidak masuk akal.
Malah, beliau secara sinis mempersoalkan mengapa tidak Umno sahaja yang dibubarkan dan menyertai Bersatu, memandangkan kekuatan semasa Bersatu di Parlimen lebih besar berbanding Umno.
“Yang cakap pun saya kenal, Datuk Mustapha (Yaakub) kawan lama saya. Dia kata bubar (Bersatu), masuk Umno, tak semudah itu.
Kenapa Umno tak bubar, masuk Bersatu? Kenapa?” ujar Muhyiddin pada sidang media selepas merasmikan pejabat Bersatu Bahau di Negeri Sembilan hari ini.
Kenyataan itu merujuk kepada cadangan oleh Setiausaha Kelab Veteran Umno, Mustapha Yaakub yang mencadangkan pemimpin Bersatu meninggalkan parti dan menyertai semula Umno, sepertimana langkah yang diambil oleh bekas ahli Semangat 46 dahulu.
Muhyiddin berkata, realiti politik hari ini menunjukkan Bersatu memiliki jumlah Ahli Parlimen yang lebih ramai, selain turut mempunyai sokongan besar di peringkat Dewan Undangan Negeri melalui kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN).
“Kita bukan Umno. Keduanya, kita badan yang tertubuh, kalau ikut kiraannya jumlah ahli parlimen kita lebih besar daripada Umno.
Adun kita pun ramai juga dan kita bersama dalam PN, kita sudah bersama dengan PAS dan negeri utara semua di bawah PN,” katanya.
Mengulas lanjut, bekas perdana menteri itu turut menempelak kerjasama Umno dengan DAP dalam kerajaan perpaduan, menyatakan Bersatu tidak pernah menggadaikan prinsip parti untuk tujuan politik.
“Kita tidak pernah berkompromi dengan prinsip kita. Tetapi Umno, lihatlah sekarang, mereka bersama DAP,” katanya lagi.