CYBERJAYA – UMNO menegaskan bahawa sebarang cadangan kerjasama daripada Bersatu perlu dikemukakan secara rasmi dan bukan hanya disuarakan melalui kenyataan media.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, walaupun beberapa kenyataan membayangkan keinginan Bersatu untuk menjalin hubungan semula, belum ada sebarang permohonan rasmi diterima setakat ini.
“Tentunya perkara penting sebegini perlu dibincang di peringkat MKT UMNO.
Jika Bersatu mahu lakukan (kerjasama dengan UMNO) atau mahu berkeinginan menyertai UMNO semula, kemukakan surat supaya perbincangan rasmi dapat dibuat.
Jangan asyik bangkitkan perkara ini (di media) kerana jika tiada permohonan, macam mana ia hendak dibincangkan secara rasmi di peringkat MKT UMNO?” katanya seperti yang dilaporkan Berita Harian.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Jelajah Revolusi Pembinaan CR4.0 dan myDigital Kontraktor (MDK) yang diadakan di Benut, Pontian.
Kenyataan itu hadir susulan wawancara audio siar bersama bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim, di mana Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, menyatakan kesediaan partinya untuk bekerjasama dengan UMNO berdasarkan persamaan ideologi.
“Jika dilihat dari sudut agenda, UMNO ditubuhkan untuk memperjuangkan agama, bangsa dan negara. Hari ini, Bersatu juga memegang ideologi yang sama.
Adakah mungkin satu masa nanti ada kerjasama? Ini bukan bermakna Bersatu tidak kuat tetapi kita terbuka untuk bekerjasama,” kata Hamzah dalam sesi tersebut.
Namun begitu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini menyatakan bahawa pintu kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) telah pun ditutup, termasuk di negeri Perak.
Ahmad Maslan turut menjelaskan bahawa cadangan kerjasama yang dikemukakan Hamzah tidak pernah menjadi agenda dalam mana-mana mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi setakat ini.
“Tidak ada perbincangan di peringkat MKT mengenai apa yang dicadang Timbalan Presiden Bersatu pada mesyuarat (MKT) baru-baru ini.
Malah mesyuarat MKT sebelum ini juga tidak pernah membincangkan mengenai isu ini,” tambah beliau.