Polis Buru Dua Suspek Terlibat Kes Samun Kedai Emas

- Advertisement -

KUALA PILAH – Polis kini memburu dua suspek yang terlibat dalam kejadian samun bersenjata di lorong belakang sebuah kedai emas di pekan Kuala Pilah di sini pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Deputi Superintenden Syahrul Anuar Abdul Wahab berkata, kira-kira pukul 11.30 pagi tadi, pihak Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah telah menerima panggilan telefon dari seorang pekerja Kedai Emas Nurjannah yang melaporkan dua lelaki yang merupakan pengedar barang kemas telah disamun di lorong belakang kedai itu.

Jelas beliau, ketika kejadian, kedua-dua mangsa membawa barang kemas dengan anggaran berat lebih kurang tujuh kilogram dan bernilai lebih kurang RM1.8 juta.

“Hasil siasatan awal pihak polis mendapati kedua-dua suspek ketika kejadian menggunakan topeng muka, bersenjatakan parang dan telah menggunakan dua buah kereta iaitu Toyota Camry berwarna putih dan Toyota Corolla berwarna perak dengan kedua-duanya menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Pihak polis sedang giat menjalankan siasatan bagi mengesan dan menangkap suspek yang terlibat dan memohon mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk tampil membantu siasatan.

“Orang ramai boleh menghubungi hotline IPD Kuala Pilah di talian 06-484 2999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Syahrul Anuar, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan siasatan terperinci sedang dilakukan.

Rakaman video dari kamera litar tertutup (CCTV) kejadian tersebut turut tular di media sosial sejak awal petang tadi. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat