KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh mengucapkan tahniah kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini yang menampilkan idea bernas dengan penubuhan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) pada 2011.
Katanya, jika sebelum ini pembangkang mengutuk inisiatif KR1M itu namun kini Kerajaan Madani telah mengemukakan idea yang sangat bernas iaitu membuka Madani Mart.
“Alhamdulilah, dulu kita ada Kedai Rakyat 1Malaysia tapi pembangkang mengutuk kedai tersebut masa ketika itu.
“Kini pembangkang tersebut telah menjadi kerajaan dan telah mengemukakan idea yang sangat bernas iaitu membuka Madani Mart pula.
“Tahniah Kerajaan BN, idea dan polisi yang bagus dan diteruskan oleh kerajaan hari ini walaupun mereka pernah mengutuk idea tersebut.
“Yang baik kita akan terus sokong,” kata Akmal.
Seterusnya, ujar beliau, minta kerajaan laksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) untuk kebaikan ekonomi negara.
“Mungkin boleh tukar nama kepada Madani tax, pun tak mengapa,” sindirnya.
Semalam, media melaporkan Kerajaan Madani terus komited dalam usaha meringankan beban kos sara hidup rakyat menerusi pelbagai inisiatif yang bersifat menyeluruh, inklusif dan berimpak tinggi.
Setiausaha Politik Perdana Menteri Ahmad Farhan Fauzi memaklumkan, kerajaan kini merancang menubuhkan Madani Mart sebagai salah satu langkah strategik membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah.
“Madani Mart merupakan inisiatif yang memberi tumpuan kepada pembangunan rangkaian kedai runcit berasaskan komuniti, khususnya di kawasan luar bandar dan separa bandar.
“Ia bertujuan menyediakan barangan keperluan berkualiti pada harga yang lebih adil dan berpatutan dengan fokus utama menyokong kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu perkongsian di media sosial.
Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Fuziah Salleh memaklumkan, Madani Mart dibangunkan untuk memastikan barangan keperluan harian kekal mampu milik dan mudah diakses.
“Pada masa sama, ia membuka ruang kepada komuniti dan usahawan tempatan untuk turut serta.
“Madani Mart akan berkembang ke seluruh negara dan anda boleh jadi antara yang terawal menyertainya,” seru beliau.



