Jangan perguna titah Agong, kenyataan AGC gagalkan himpunan Bossku

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Sayap Pemuda Umno berharap tiada pihak cuba memanfaatkan titah Agong dan kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang terbaru untuk menggagalkan himpunan solidariti untuk Datuk Seri Najib Razak yang dirancang Isnin ini.

Ketua Pemuda Umno Pokok Sena Mohd Farhan Ahmad bahkan menuntut semua pihak untuk kembali fokus kepada tujuan asal perhimpunan ini.

“Saya memohon semua pihak untuk kembali fokus kepada tujuan asal perhimpunan ini iaitu untuk menyatakan sokongan kepada usaha Datuk Seri Mohd Najib yang mahu mendapatkan pengesahan kewujudan Titah Addendum Al-Sultan Abdullah.”

“Tidak salah bagi mana-mana pihak untuk berhimpun bagi menunjukkan solidariti dan kasih kepada Datuk Seri Najib.

“Mohon agar tiada pihak yang cuba menggunakan kenyataan Peguam Negara dan titah Agong yang terbaru untuk menggagalkan himpunan pada hari Isnin ini,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tegas Farhan adalah menjadi tanggungjawab semua rakyat Malaysia untuk menegakkan keadilan.

Justeru kata beliau, tindakan menyembunyikan kesahihan kewujudan addendum adalah bertentangan dengan semangat Kerajaan Madani.

“Himpunan kali ini lebih kepada solidariti terhadap nasib Najib yang mahu hak beliau dalam adendum itu disahkan kewujudannya.

“Janganlah kita mencampur-adukkan politik dalam menegakkan keadilan.

“Perhimpunan ini adalah untuk semua, untuk setiap lapisan masyarakat yang mana suara mereka harus kita dengar dan diangkat seperti mana keadilan dan kedaulatan undang-undang adalah hak setiap marhaen.

“Ianya adalah tunjang masyarakat seperti mana tersemat dalam rukun negara, dalam kita menzahirkan kesetian kita kepada Raja dan negara, dengan selarinya juga kita menghormati keluhuran Perlembagaan sambil menjaga tatatertib kita dengan penuh kesopanan dan kesusilaan,” ujar Farhan.

Awal hari ini, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah sekiranya mana-mana pihak ingin mencadangkan supaya mana-mana banduan untuk diberi keampunan atau pengurangan hukuman maka, permohonan berkenaan hendaklah dikemukakan oleh banduan berkenaan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada mesyuarat akan datang.

Istana Negara dalam kenyataan memaklumkan Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa prerogatif menurut peruntukan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutan untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Sebelum itu, Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata Najib perlu mengemukakan permohonan baharu kepada Lembaga Pengampunan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong sekiranya ingin menghabiskan baki tempoh hukumannya kepada tahanan di rumah.

AGC dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong berkuasa untuk memberi pengampunan, menunda dan melegakan hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan serta Putrajaya.

Menurut kenyataan tersebut, Perkara 42(2) Perlembagaan Persekutuan pula antara lain memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong juga boleh meremit, menggantung atau meringankan apa-apa hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat