Kuala Lumpur – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dikatakan telah ‘membuang’ Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dari parti itu.
Melalui kenyataan media yang dikeluarkan sebentar tadi, Pejuang hanya menyenaraikan empat nama ahli parlimen parti itu iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad (Langkawi), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun), Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Datuk Shahruddin Md Salleh (Sri Gading).
Tindakan itu dikatakan ekoran keputusan Syed Saddiq untuk menubuhkan oarto baharu Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).
Sementara itu Dr Maszlee diketepikan kerana memberi sokongan kepada ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kesembilan tanpa pengetahuan Dr Mahathir.
Terdahulu Pejuang melalui satu kenyataan media berkata mahu meneliti terlebih dahulu kandungan Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 6 Nov, sebelum membuat keputusan untuk memberi sokongan.
Dalam kenyataan bersama itu, semua ahli Parlimen berkenaan berkata langkah itu bertujuan memastikan belanjawan memberi kesejahteraan kepada rakyat dan menghidupkan semula ekonomi negara.
“Kami merasakan, memberi persetujuan tanpa terlebih dahulu meneliti isi kandungan belanjawan tersebut adalah tidak bertanggungjawab,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, empat ahli parlimen itu juga mempunyai pandangan dan idea tentang cara membantu mengatasi bahagian tertentu masalah ekonomi negara.
Kenyataan itu juga menyebut penelitian terhadap Belanjawan 2021 itu juga bukan bertujuan politik sebaliknya untuk menunaikan janji kepada rakyat.