BENTONG – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa Kerajaan Perpaduan akan terus memperkasa dan memberi perhatian terbaik kepada Felda dan warga peneroka.
Beliau berkata isu yang diutarakan golongan itu termasuk permasalahan infrastruktur seperti lampu jalan, akses internet, klinik desa dan pusat dialisis, sedaya upaya diselesaikan dengan segera.
Katanya beliau telah meminta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek supaya membantu mempermudah dan mempercepat proses mengatasi permasalahan di kawasan tanah rancangan itu.
“Saya suruh juga menteri-menteri untuk sama (kerja). Menteri Pendidikan, Menteri Kesihatan…semua kena diselaraskan supaya dalam masa setahun dua ini, kita beri perhatian lebih baik dan terbaik pernah kita lakukan.
“Ini iltizam saya. Saya hendak kementerian-kementerian terlibat dan saya sebut ini dalam mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya semasa berucap pada Karnival Segalanya Felda di Dataran Niaga Felda Chemomoi di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Ketua Peneroka Felda Kebangsaan Sulong Jamil Mohamad Shariff dan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai Datuk Amizar Abu Adam.
Anwar pada sambutan Hari Peneroka Felda 2023 Julai lepas telah mengumumkan beberapa inisiatif dan insentif bagi meningkatkan kualiti hidup dan memelihara kebajikan warga Felda antaranya Sumbangan Kesihatan Rahmah (SKR) yang melibatkan peruntukan RM21.21 juta, pembinaan pusat hemodialisis dengan peruntukan RM21 juta dan perbelanjaan untuk kos operasi lampu jalan dengan implikasi kewangan RM7.7 juta setahun.
Sementara itu Perdana Menteri turut memberi komitmen untuk terus menyokong usaha kerajaan Pahang membantu golongan peneroka Felda.
“Pahang mempunyai kawasan Felda terbesar dan Menteri Besarnya adalah contoh yang menjalankan kerja, bukan hanya berjanji. Banyak yang telah dilaksanakan termasuk rumah generasi kedua kerana tanah terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan kita (kerajaan Persekutuan) akan tambah semangat untuk bantu.
“Tetapi politik kena stabil supaya pelaburan datang dan rakyat mesti sambut apa yang kita lakukan. Kalau mahu menegur, mengkritik atau mencadang, kita boleh terima, tapi jangan maki hamun, maki, cerca atau berbalah, tak perlu begitu,” katanya.
Terdahulu, Wan Rosdy dalam ucapannya berkata kerajaan negeri komited dalam isu peneroka termasuk tanah, yang menyaksikan 95 peratus daripada 43,126 peneroka di negeri ini menerima surat hak milik tanah mereka.
Selain itu, kerajaan negeri juga memperuntukkan RM200 juta untuk menyiapkan Projek Perumahan Generasi Baharu Felda yang terbengkalai di Pahang. – Bernama