KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim menggelarkan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai Hang Nadim moden.
Kata Hassan sekiranya bekas Menteri Belia dan Sukan itu berjaya mempertahankan kerusi yang telah dimenanginya selama dua penggal selama ini dan sekiranya bekas menteri termuda ini berjaya menewaskan tentangan dari PH dan BN mahupun PN maka Syed Saddiq berhak untuk diberi perhatian sebagai pemimpin nasional akan datang.
Dalam hantaran terbaharunya pada Selasa wakil rakyat PKR itu menulis “Selamatkan Hang Nadim moden”.
“Suatu analogi, sekiranya Syed Saddiq menang lagi di Mahkamah Persekutuan bagi mengenepikan rayuan dari pihak pendakwaraya dalam kes tuduhan rasuah, maka Syed Saddiq benar-benar berhak di tempatkan dalam saf bakal-bakal pemimpin nasional kita yang akan datang.
“Parti-parti politik besar di Malaysia sekarang adakah tergamak mengulangi sejarah silam di mana seorang anak muda yang pintar dalam sejarah “Temasek dilanggar todak” diikat dengan rantai besi kaki tangannya, lalu dihumban mati ke tengah laut?
“Renung – renungkanlah,” ujar Hassan.
Minggu lalu, PKR Johor mengumumkan hasrat bertanding di Parlimen Muar, Pagoh dan Mersing, dengan Ketuanya Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menamakan Muar sebagai kerusi berpotensi tinggi untuk dimenangi.



