KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Nur Jazlan Mohamed mendakwa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Perikatan Nasional (PN) sendu memandangkan akaun beberapa pemimpin parti Bersatu dibekukan bagi siasatan projek Jana Wibawa.
Menurut Nur Jazlan, apa yang dihadapi PN kini adalah kifarah kerana Bersatu sebelum ini pernah menganiaya Umno.
“Bagi saya semua tu adalah satu kifarah atau hukum karma kepada Tan Sri Muhyiddin dan Bersatu yang sebelum ini menganiaya Umno.
“Ini ‘dosa-dosa’ politik Muhyiddin dan Tun Dr Mahathir Mohamad yang begitu jahat nak hancurkan Umno dengan pelbagai dakwaan dan siasatan terpilih akhirnya berbalik kepada mereka,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Timbalan Yang DiPertua Dewan Negara itu menyebut, PRN kali ini tak semeriah PRU15 lepas.
“Sudah hilang serinya bila PN tak lagi galak berkempen besar-besaran, perang poster dan benda mereka juga kurang dan content di media sosial pun sendu. Tak ada lagi video kat Tiktok, Abah Muhyiddin seronok berjoget sambil nyanyi ‘swipe-swipe’.
“Muhyiddin sekarang ini lebih ‘senyap-senyap’. Kalau masa PRU15, berlambak-lambak bahan kempen PN baik di media sosial, iklan di akhbar dan sepanduk-sepanduk di segenap tempat. Tapi PRN kali ini semua sendu. Sebabnya bila Muhyiddin dan beberapa orang pemimpin Bersatu kantoi kes dana Jana Wibawa, maka akaun parti itu pun dibekukan oleh SPRM untuk siasatan. Dana Jana Wibawa yang dulunya geng PN termasuk PAS ini berjoli katak kini sudah tak ada.
“Sampaikan saya kesian bila dengar kenyataan Setiausaha PAS Selangor l, Roslan Shahir yang kata calon-calon PN terpaksa bersengkang mata dan mengalir air mata cari dana jana sendiri untuk guna buat berkempen. Kata Roslan, masalah kewangan PN berlaku sebab akaun Bersatu kena beku sampaikan parti sekutu PAS itu tak boleh lagi beri duit belanja besar. Jadi benarlah cerita-cerita sebelum ini yang dakwa Bersatu memang jadi banker kepada PAS. Patutlah sejak PAS jalinkan hubungan dengan Bersatu dulu mereka dilihat hidup mewah. Belanja PAS masa PRU15 pun bukan kecik-kecik anak. Siap boleh beli undi, buat jamuan besar di setiap bilik gerakan kempen mereka,” dakwa beliau.
Nur Jazlan juga berkata, Muhyiddin ‘memanjakan’ Presiden PAS, Tan Sr Abdul Hadi Awang dan parti Islam itu menggunakan dana Jana Wibawa.
“Rupanya selama ini Bersatu taja segala makan, pakai dan keperluan PAS. Muhyiddin manjakan Hadi dan gengnya dengan duit daripada Jana Wibawa sampai puak lebai lupa diri sehingga sanggup keluarkan macam-macam fatwa untuk serang Umno.
“Sebab itulah pemimpin PAS terutamanya Hadi cukup sayangkan Bersatu hingga sanggup khianati Umno dalam MN. Nampaknya memang betul lebai PAS pun boleh dibeli dengan duit. Asal ada ongkos apapun boleh jadi,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Pulai memberitahu, sebelum ini Umno terpaksa berjuang dan berdepan dengan beberapa PRK dengan kantung yang kosong.
“Tapi pemimpin dan orang UMNO tak adalah nak mengeluh sakan. Kita semua harungi semua dugaan itu dengan tabah dan akhirnya dapat juga menang 5 daripada 8 PRK yang diadakan sepanjang 2019 hingga 2020.
“Jadi sekarang ini biarlah Bersatu dan PAS rasakan pulak macam mana pedih serta sakitnya bila kena batang tubuh sendiri.
“Biarlah Muhyiddin cari cara lain untuk perkudakan PAS sepanjang PRN ini. Yalah, Bersatu pun bukannya ada jentera kempen, semuanya mereka harapkan walaun-walaun PAS untuk buat kerja kempen calon PN terutamanya calon Bersatu.
“PAS pun saya dengar cerita dah mula balik tadah tabung tin milo yang bertahun-tahun mereka simpan dalam gobok. Bila Muhyiddin dah tak ada duit, maka Hadi kenalah kembali minta sedekah untuk sara diri dan keluarga. Nasib badan la nak,” bidas Nur Jazlan dalam hantaran di Facebooknya.