13 anak YKM terima Bantuan Menara Gading, lanjut pengajian ke IPT

KUALA LUMPUR 2 Julai 2026 – Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) akan menyalurkan Bantuan Menara Gading kepada 13 anak-anak di bawah naungannya yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi selepas menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Jumlah itu mewakili 40 peratus daripada 33 anak-anak YKM yang menduduki peperiksaan utama tersebut pada tahun lalu. Kesemua mereka menyambung pengajian dalam pelbagai laluan termasuk Tingkatan Enam, Diploma, Matrikulasi, Asasi, Sijil dan TVET.

Bantuan tunai yang bertujuan membantu meringankan perbelanjaan awal sebelum mereka memasuki kampus itu akan mula dikreditkan ke dalam akaun masing-masing bermula esok (3 Julai).

Pengerusi YKM, YB Dato’ Sri Dr Ismail Sabri Yaakob berkata, kejayaan tersebut membuktikan bahawa sokongan pendidikan yang berterusan mampu membuka laluan lebih baik kepada anak-anak daripada keluarga yang memerlukan.

“Tahniah kepada semua anak-anak YKM yang berjaya melangkah ke menara gading. Kejayaan ini membuktikan bahawa dengan dorongan, disiplin dan sokongan yang tepat, mereka mampu membina masa depan yang lebih baik.

“Namun, peratusan anak-anak YKM yang menyambung pelajaran masih perlu dipertingkatkan. YKM mensasarkan lebih separuh daripada pelajar lepasan SPM di bawah naungannya meneruskan pengajian ke peringkat seterusnya setiap tahun,” kata bekas Perdana Menteri Kesembilan itu.

Pelajar cemerlang YKM SPM 2025 iaitu Aisyah binti Maharuddin (10A) telah menyambung pelajaran di Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan, manakala Nurhanani Ainah binti Khafizan (9A) dan Nur Aqilah Alya binti Mohamad (9A) masing-masing melanjutkan pelajaran dalam program Asasi di UiTM Dengkil selama setahun.

“Bantuan ini adalah sokongan awal yang bermakna untuk membantu mereka memulakan perjalanan di kampus dengan lebih yakin. YKM akan terus berdiri bersama mereka dalam usaha mengejar ilmu dan membina masa depan yang lebih baik,” tambah beliau lagi.

Ahli Parlimen Bera itu turut memberi komitmen bahawa selagi YKM mempunyai kemampuan kewangan, yayasan itu akan terus memastikan anak-anak di bawah naungannya tidak tercicir daripada peluang mendapatkan pendidikan berkualiti.

Selaras dengan komitmen tersebut, YKM akan memperluaskan program pembangunan pendidikan termasuk Kem Motivasi SPM 2026 bersama pusat tuisyen MC PLUS, dengan sasaran sekurang-kurangnya 10 pelajar memperoleh keputusan 5A dan ke atas dalam peperiksaan SPM 2026.

YKM percaya kejayaan membangunkan modal insan memerlukan sokongan semua pihak. Sehubungan itu, yayasan ini mengalu-alukan penyertaan syarikat korporat, badan bukan kerajaan dan orang ramai untuk menyumbang dana, menaja program pendidikan, menyediakan bimbingan akademik atau menyokong keperluan awal pelajar agar lebih ramai anak-anak daripada keluarga yang memerlukan berpeluang membina masa depan yang lebih cerah.

Sebarang pertanyaan media, maklumat lanjut mengenai program atau penyelarasan sumbangan kepada Yayasan Keluarga Malaysia boleh diajukan kepada pihak YKM di talian 011-53421005.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat