WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump hari ini mengancam untuk menghentikan subsidi bernilai berbilion dolar yang diterima oleh syarikat milik Elon Musk daripada kerajaan Persekutuan.
Perbalahan itu kembali memuncak apabila Musk, yang membelanjakan ratusan juta dolar untuk kempen pemilihan semula Trump, mengulangi kritikannya terhadap rang undang-undang (RUU) pemotongan cukai dan perbelanjaan Trump.
RUU itu, yang diluluskan oleh Senat dengan majoriti tipis semalam, akan menghapuskan subsidi untuk pembelian kenderaan elektrik (EV) yang selama ini memanfaatkan Tesla, pengeluar EV utama di AS.
“Dia marah kerana dia kehilangan mandat EV-nya … dan dia sangat marah mengenai banyak perkara, tetapi dia boleh kehilangan lebih daripada itu,” kata Trump lapor Reuters.
Tesla mendapat manfaat berbilion dolar dalam bentuk kredit cukai dan faedah dasar lain kerana pembabitannya dalam pengangkutan bersih dan tenaga boleh diperbaharui.
Pentadbiran Trump mempunyai kawalan ke atas banyak program terbabit, termasuk kredit cukai pengguna sebanyak AS$7,500 (RM31,538) yang menjadikan pembelian atau penyewaan EV lebih menarik kepada pengguna.
Semalam, saham Tesla jatuh lebih lima peratus
CEO Tesla itu sekali lagi mengancam untuk menubuhkan parti politik baharu dan membelanjakan wang bagi menyingkirkan ahli-ahli Parlimen yang menyokong RUU berkenaan, walaupun beliau sebelum ini berkempen untuk mengehadkan perbelanjaan kerajaan.
Parti Republikan bimbang pertelingkahan berterusan antara Musk dan Trump boleh menjejaskan peluang mereka untuk mempertahankan majoriti pada pilihan raya pertengahan penggal 2026.
Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, membalas kritikan Musk dengan menyatakan biar beliau yang menguruskan kewangan negara dan menegaskan RUU itu akan meningkatkan defisit.
Musk sebelum ini mengetuai penubuhan Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE), yang bertujuan mengurangkan perbelanjaan kerajaan, sebelum menarik diri pada akhir Mei lalu.
Trump di platform Truth Social semalam, mencadangkan Musk mungkin menerima subsidi lebih daripada mana-mana individu lain dalam sejarah, dengan perbezaan yang ketara.
“Tiada lagi pelancaran roket, satelit atau pengeluaran kereta elektrik, dan negara kita akan jimat BERBILION,” katanya.
Trump kemudian menegaskan lagi kenyataannya kepada wartawan sambil tersenyum, “DOGE mungkin adalah raksasa yang perlu kembali dan makan Elon.”
Tesla menerima kredit kawal selia kerana menjual kenderaan elektrik dan memperoleh hampir AS$11 bilion (RM46.3 bilion) dengan menjual kredit itu kepada pengeluar kereta lain yang tidak dapat mematuhi peraturan pelepasan kenderaan yang semakin ketat.
Apabila ditanya sama ada beliau akan menghantar pulang Musk, seorang warganegara AS yang dinaturalisasikan, Trump berkata kepada wartawan ketika meninggalkan Rumah Putih semalam: “Saya tidak tahu. Kita perlu lihat dulu.”