Pengajar pegang tauliah MAIS dilarang pegang jawatan politik, tidak burukkan kerajaan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Para pengajar yang memegang tauliah mengajar daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) supaya tidak memegang jawatan dalam mana-mana parti politik.

Malah, pengajar turut diingatkan supaya tidak mendatangkan perasaan benci, penghinaan atau perasaan tidak suka kepada Kerajaan Persekutuan atau mana-mana kerajaan negeri.

Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, pengajar juga tidak seharusnya membangkitkan isu-isu yang boleh mengembangkan perasaan buruk sangka dan permusuhan antara kaum.

Menurutnya, kerajaan negeri ketika ini masih menerima aduan mengenai pemegang-pemegang tauliah mengajar agama di masjid-masjid di Selangor yang menyalahgunakannya.

“Suka saya ingatkan semula bahawa di bawah Peraturan 14(1); Peraturan-peraturan Tauliah Bagi Pengajaran Agama Islam (Selangor) 2024, menetapkan syarat kelayakan para pemegang tauliah sebagai beragama Islam mengikut pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, bermastautin di Selangor, tidak memegang apa-apa jawatan dalam mana-mana parti politik dan bukan anggota Dewan Negara, Dewan Rakyat atau Dewan Negeri.

“Peraturan itu penting untuk memastikan masjid tidak menjadi medan propaganda politik dan perpecahan sepertimana titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semasa Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor 2023,” katanya dalam satu kenyataan lapor Utusan di Shah Alam pada Rabu.

Malah, ADUN Seri Setia itu menegaskan Kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Tauliah MAIS tidak akan teragak-agak untuk menggantung atau menarik balik tauliah jika ada aduan berasas jika aduan berasas terbukti benar.

Justeru, Mohammad Fahmi menyarankan orang awam untuk membantu membanteras para pendakwah yang melakukan sebarang perkara boleh menyebabkan penggantungan atau penarikan balik taluah mengajar agama.

“Saya tegaskan semula kepada para pendakwah agama yang berhasrat untuk menyampaikan ilmu dan berdakwah di masjid dan surau atau mana-mana tempat lain dalam negeri ini agar terus komited untuk berakhlak mulia serta menjauhkan diri daripada politik kepartian.

“Mereka yang tidak bersedia untuk memberikan komitmen itu disarankan agar tidak memohon tauliah di negeri ini. Tauliah MAIS adalah suatu tanggungjawab, bukan suatu kelebihan yang boleh diguna pakai sesuka hati,” tegasnya.

Katanya lagi, orang awam disarankan untuk membantu kerajaan negeri dalam membanteras para pendakwah yang melakukan apa-apa perkara yang boleh menyebabkan penggantungan atau penarikan balik tauliah mengajar agama.

Jika berlaku perbuatan tersebut, aduan boleh terus dibuat di Hotline Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) 1800-882424.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat