Pas desak kerajaan hapus juga akta-akta zalim sekat kebebasan bersuara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pas dengan tegas turut mendesak agar Kerajaan mengambil langkah susulan untuk menyemak semula Akta Perhimpunan Aman 2012 secara menyeluruh supaya ia benar-benar mencerminkan semangat Perlembagaan dan prinsip-prinsip hak asasi manusia sejagat, apatah lagi selaras dengan keputusan yang bersejarah ini.

Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan juga menuntut supaya kerajaan serius menyemak semula dan memansuhkan peruntukan akta-akta zalim yang boleh disalahguna untuk menyekat kebebasan bersuara antaranya Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan seumpamanya.

“Perkara ini juga selaras dengan janji pilihan raya Pakatan Harapan sebagaimana yang terkandung dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mereka, iaitu: “Menyemak semula dan memansuhkan peruntukan akta-akta zalim yang boleh disalahguna untuk menyekat kebebasan bersuara antaranya Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu Pas mengalu-alukan dan menyokong penuh keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang memutuskan bahawa peruntukan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 adalah tidak berperlembagaan dan bertentangan dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, yang secara langsung menjenayahkan kegagalan untuk memberi notis untuk suatu perhimpunan aman.

“Perkara 10 menjamin hak setiap warganegara untuk bercakap, berhimpun dan berpersatuan secara aman dan tanpa senjata, suatu kebebasan asasi yang menjadi tunggak utama dalam sistem demokrasi berparlimen yang kita amalkan.

“Keputusan ini bukan sahaja suatu penegasan terhadap supremasi Perlembagaan, tetapi juga satu mesej jelas bahawa hak asasi rakyat tidak boleh digugat oleh peruntukan undang-undang yang menindas atau berlebihan.

“Seksyen 9(5), yang memperuntukkan penalti jenayah terhadap penganjur perhimpunan yang gagal memberikan notis kepada pihak polis dalam tempoh 5 hari sebelum tarikh perhimpunan, telah lama dianggap sebagai satu bentuk sekatan tidak munasabah terhadap hak dan kebebasan berhimpun. Kini, dengan keputusan ini, pasti rakyat Malaysia lebih yakin bahawa pandangan mereka boleh disuarakan tanpa ancaman pendakwaan yang tidak berasas,” kata Takiyuddin yang juga pengamal undang-undang itu lagi.

Tambah beliau lagi, Pas juga percaya keputusan ini akan memperkukuh keyakinan rakyat terhadap kebebasan bersuara dan berhimpun sebagai sebahagian daripada ciri-ciri penting sebuah negara demokrasi yang matang dan bertamadun.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat