Penemuan arca di Bukit Choras, jadi aset arkeopelancongan & tarikan pelancong ke Kedah

- Advertisement -

Oleh: Zihan Zari

GEORGE TOWN – Pasukan penyelidik tempatan daripada Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia (PPAG – USM) diketuai oleh Dr. Nasha Rodziadi Khaw menemui arca berbentuk manusia yang lengkap di Tapak Warisan Arkeologi Bukit Choras, Yan, Kedah.

Arca Buddha dari abad ke-8 hingga ke-9, ditemui itu, menunjukkan kawasan tersebut suatu ketika dahulu adalah tapak keagamaan lebih tua berbanding Angkor Wat di Kemboja dan Borobudur di Indonesia.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Roslan Abdul Rahman berkata, penemuan bersejarah itu menjadi aset arkeopelancongan dan tarikan kepada pelancong untuk datang ke Kedah.

Beliau bercakap kepada media berkenaan penemuan arca berbentuk manusia itu di PPAG, USM pada Rabu lalu.

Turut hadir Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Pengarah PPAG -USM, Prof Dr. Stephen Chia Ming Soon dan Pesuruhjaya Warisan Jabatan Warisan Negara (JWN), Mohamad Muda Bahadin.

Roslan berkata, penyelidikan arkeologi fasa 3 telah bermula pada 21 April hingga 21 Mei lalu dengan kerjasama JWN dan USM turut menemui beberapa artifak lain yang sangat signifikan dan penting bagi Malaysia.

Katanya, penyelidikan ini telah mendedahkan struktur binaan pada bahagian dinding utara dan barat sehingga memperlihatkan dengan jelas struktur utama candi Bukit Choras yang mempunyai seni bina yang unik.

Di samping itu, kajian stratigrafi, pemetaan kontur serta dokumentasi yang lebih teliti telah dijalankan terhadap struktur candi serta blok-blok laterit yang ditemui.

“Penemuan penting di tapak adalah sebuah arca Buddha bersaiz manusia yang diperbuat daripada stucco, iaitu sejenis bahan campuran kapur, air dan pasir, ditemui di dinding utara candi tersebut.

“Berbeza dengan arca yang ditemui ketika fasa 1 dan 2, arca kali ini ditemui lengkap bersama kepalanya dengan ciri-ciri ikonografi seperti jubah, riak wajah, dan pakaian dapat dilihat dengan jelas.

“Selain itu, turut ditemui sebuah prasasti Sanskrit yang diukir di atas badan batu serta serpihan tembikar tanah,” katanya lagi.

Ujarnya, sebagai langkah keselamatan dan penyelidikan lanjutan, relik tersebut telah dibawa keluar dari tapak di Bukit Choras dan ditempatkan sementara di makmal PPAG-USM bagi kerja-kerja konservasi secara menyeluruh.

Kajian perbandingan antara arca yang baru ditemui ini dengan arca-arca lain terutamanya dari tamadun India, Indochina dan Kepulauan Melayu dapat memberikan gambaran penting mengenai masyarakat Kedah Tua terutamanya daripada aspek keagamaan, kebudayaan serta hubungan dari segi kesenian dan teknologi dengan dunia luar.

Penemuan sebuah lagi prasasti berbahasa Sanskrit memperlihatkan kepentingan dan signifikan Bukit Choras sebagai tapak keagamaan yang penting.

Secara keseluruhannya, sehingga penyelidikan fasa III, sebanyak 3 buah prasasti mengandungi mantra sagaramatipariprccha telah ditemui di Bukit Choras.

Ianya menceritakan tentang doktrin agama buddha yang berkait rapat dengan kekosongan, sebab musabab dan sifat-sifat yang dimiliki oleh Buddha, sama seperti isi kandungan prasasti yang ditemui pada fasa 1 sebelum ini.

Penemuan itu, tentunya membuka ruang kepada tafsiran baharu mengenai kedudukan geostrategik Kedah Tua sebagai sebuah kota penting dalam jalur perdagangan maritim Asia Tenggara.

“Penyelidikan ini juga menegaskan komitmen yang diberikan oleh MOTAC melalui JWN dan USM dalam menghasilkan data-data baharu bagi memperkayakan sejarah dan melestarikan khazanah warisan negara.

“Di bawah Dasar Kebudayaan Negara 2021 (DAKEN 2021) iaitu Pemuliharaan Warisan Budaya dan Penjanaan Ekonomi Kebudayaan, JWN bersama PPAG, USM dengan kerjasama kerajaan Kedah akan memastikan penemuan ini dijadikan rujukan sejarah dan warisan negara serta dapat dikongsikan kepada orang ramai,” ujarnya lagi. -SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat