CYBERJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, bertitah bahawa tiada hadiah yang lebih istimewa sempena sambutan hari keputeraannya selain melihat rakyat Malaysia hidup dalam suasana aman dan bersatu padu.
Dalam titah baginda yang disampaikan di Kuala Lumpur hari ini sempena ulang tahun keputeraan rasmi, baginda menzahirkan kebimbangan terhadap situasi semasa negara yang dilihat sedang dilanda bahaya perbalahan dan perpecahan dalam kalangan rakyat.
“Tidak ada hadiah yang lebih istimewa buat saya selain daripada rakyat yang bersatu padu,” titah baginda.
Sultan Ibrahim turut mengingatkan para pemimpin agar lebih berhati-hati dalam tindakan dan keputusan mereka, terutamanya membabitkan hal ehwal dalaman parti masing-masing yang boleh mencetuskan ketegangan dalam masyarakat.
“Suka saya ingatkan kepada para pemimpin masyarakat supaya tidak bermain politik atas isu sensitif yang akan menimbulkan perbalahan dalam masyarakat dan menggugat kestabilan negara.
“Begitu juga apabila wujud lagi banyak parti politik atau kem dalam parti, maka rakyat akan berpecah belah dan makin benci membenci.
“Gunalah akal sebelum buat sebarang keputusan,” titah baginda lagi.
Baginda turut memberikan amaran tentang kewujudan satu “virus” berbahaya yang kini menular dalam kalangan rakyat dan sukar dibendung.
“Awak fikirlah sendiri apa virusnya itu. Saya sering ingatkan perkara ni supaya kita tidak mudah lupa.
“Berilah saya hadiah perpaduan yang kukuh,” titah baginda penuh makna.